Covid-19: Azis Jamman sumbang gaji Ahli Parlimen, bantu rakyat terjejas
WAKIL rakyat Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman, akan menyumbangkan gajinya sebagai Ahli Parlimen pada bulan ini dan bulan seterusnya, selagi Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, bagi membantu rakyat di kawasannya yang terjejas sepanjang tempoh itu.
Mohd Azis dalam kenyataan hari ini berkata, beliau mengambil keputusan tersebut setelah mendapat maklumat, tentang kesukaran sebahagian masyarakat untuk membeli barangan dapur serta keperluan susu anak-anak, kerana terjejas sumber pendapatan ekoran perintah kawalan pergerakan berkenaan.
“Saya rasa tidak sewajarnya saya menerima gaji dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kerana saya tidak dapat menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen (ketika ini), untuk melawat penduduk kampung di Sepanggar. Adalah lebih wajar gaji saya diserahkan kepada mereka yang lebih memerlukan.
“Meskipun sumbangan ini tidak besar, tetapi ia boleh digunakan bagi membeli barangan makanan dan keperluan harian, seterusnya diagih-agihkan kepada golongan terjejas dalam tempoh ini,” katanya, yang turut memohon pihak swasta, usahawan dan tokoh korporat di Sabah, untuk tampil menghulurkan sumbangan.
Katanya, Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar akan dibuka sebagai pusat pengumpulan bantuan makanan serta keperluan harian, dan mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi pegawai perhubungan terbabit, iaitu Raini di talian 010-5472921; Redzwan 014-6787800; Jasni 016-8406511; dan Hadi Murba 011-10231002.
Dalam pada itu, Mohd Azis berkata, pihaknya telah mengagihkan barangan makanan dan keperluan harian kepada lebih 4,000 pelajar yang tinggal di asrama, membabitkan beberapa institusi pengajian tinggi di negeri ini iaitu Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah dan Politeknik.
“Hari ini, penghantaran bantuan makanan akan diteruskan kepada anggota TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), polis, para doktor dan jururawat. Pihak kami juga mula mengagihkan bantuan kepada ibu tunggal dan golongan terjejas sumber pendapatan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan,” katanya. – BERNAMA