Nasional

COVID-19: 11 kluster baharu dikesan, tujuh libatkan tempat kerja

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebelas lagi kluster baharu hari ini dengan tujuh daripadanya melibatkan tempat kerja menjadikan jumlah keseluruhan kluster di seluruh negara kini sebanyak 548 dengan 242 kluster aktif dipantau.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tempat kerja itu dikesan melalui saringan bersasar di tempat kerja manakala empat kluster lain dikenal pasti menerusi saringan individu bergejala.

Kluster tempat kerja terbabit dikesan di Selangor melibatkan Kluster Jalan Playar dan Kluster Sri Suria di Petaling; Kluster Tapak Bina Bukit Semenyih dan Kluster Bukit Angkat di Hulu Langat; Kluster Parit Jamil di Muar, Johor; serta Kluster Tapak Bina Jalan Desa di Lembah Pantai; dan Kluster Jalan Raja di Lembah Pantai, Cheras, Titiwangsa dan Kepong di Kuala Lumpur.

“Kes dalam Kluster Jalan Playar dilapor positif bermula pada 11 Dis 2020 hasil saringan bersasar di sebuah kilang dan sehingga hari ini sejumlah 180 individu disaring dengan 68 kes dikesan positif COVID-19.

“Kes bagi Kluster Sri Suria dilapor positif bermula hari ini melalui saringan bersasar di sebuah kilang dengan sejumlah 258 individu disaring dan 16 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan harian COVID-19, hari ini.

Beliau berkata Kluster Tapak Bina Bukit Semenyih mencatat 17 kes positif COVID-19 manakala Kluster Bukit Angkat melaporkan 25 kes positif.

“Kes indeks bagi Kluster Parit Jamil iaitu kes ke-108,188 telah dilaporkan positif pada 29 Dis 2020 hasil saringan individu bergejala. Sehingga hari ini, sejumlah 612 individu disaring, dengan 62 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kes bagi Kluster Tapak Bina Jalan Desa bermula hari ini hasil saringan bersasar di tapak binaan dengan sejumlah 800 individu disaring, dan 116 kes dikesan positif COVID-19 manakala  Kluster Jalan Raja mengesan 25 kes positif melalui saringan bersasar di sebuah pusat membeli-belah,” katanya.

Empat kluster baharu yang lain pula ialah Kluster Tombovo di Putatan, Sabah yang merekodkan 18 kes positif COVID-19; Kluster Langit Selatan di Kuantan, Pahang (sembilan); Kluster Bah Sayap di Miri, Sarawak (lima); dan Kluster Mengkuang di Marang dan Kuala Nerus di Terengganu yang mencatat 10 kes.

Dr Noor Hisham berkata 53 kluster merekodkan pertambahan kes hari ini dengan Kluster 5 Jalan Perindustrian mencatat kes baharu tertinggi sebanyak 200 kes, Kluster Tapak Bina Jalan Desa (116 kes), dan Kluster Beringin (65 kes). – BERNAMA

(Visited 175 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button