Nasional

Contohi sahaja budi bicara Almarhum Sultan Azlan Shah

BEKAS Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar percaya budi bicara yang digunakan oleh Almarhum Sultan Azlan Shah untuk menyelesaikan krisis politik di Perak pada 2009 boleh dijadikan teladan dalam meredakan kemelut peralihan kepemimpinan kerajaan hari ini.

“Barisan Nasional (BN) di Perak ketika itu menubuhkan kerajaan negeri selepas mendapat sokongan 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili UMNO, seorang ADUN MCA dan tiga Bebas.

“Ia susulan kejayaan BN menarik empat ADUN daripada PKR dan DAP termasuk ADUN Bota yang kembali kepada UMNO dan menyatakan ketidakpercayaan kepada kerajaan negeri ketika itu,” kata Wan Ahmad ketika dihubungi Suara Merdeka.

Almarhum, kata Wan Ahmad, menggunakan budi bicara baginda selaku Sultan Perak untuk menentukan bahawa menteri besar daripada Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Biarpun ia tidak tidak pernah dibuktikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui undian, Mohamad Nizar membuat permohonan kepada Sultan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan rakyat mengundi kerajaan negeri baru.

Permohonan tersebut bagaimanapun tidak mendapat perkenan sultan kerana baginda menganggap Mohamad Nizar telah hilang kelayakan untuk terus menjadi menteri besar.

Malah Sultan Azlan Shah menitahkan Mohamad Nizar untuk meletakkan jawatan dan kemudian melantik kabinet yang baharu.

Dengan itu, Sultan Azlan Shah yang pernah menjadi presiden Mahkamah Agung (kini Ketua Hakim Negara) menjadi satu-satunya sultan yang terlibat secara langsung dalam pertukaran kerajaan negeri di pertengahan penggal.

Mahkamah Persekutuan akhirnya mengesahkan bahawa undian sokongan terhadap Mohamad Nizar tidak perlu dilakukan dalam sidang dewan kerana sultan mempunyai kuasa untuk menentukan wakil rakyat manakah yang mempunyai sokongan majoriti.

Cara pertukaran ketua eksekutif di Perak itu bukanlah cara yang diguna pakai oleh sultan dalam pertukaran menteri besar yang terbaru, iaitu di Selangor (2014) dan Perlis (2018).
Ia menjadi legasi terbesar dalam krisis Perak. Bagaimanapun kaedah itu tidak diguna pakai dalam pertukaran menteri besar dalam dua kes yang berlaku selepas itu, iaitu Selangor pada 2014 dan Perlis pada 2018.

Pada 2014, ADUN Kajang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menulis surat kepada Sultan Selangor untuk menyatakan beliau memiliki sokongan majoriti di DUN.

Bagaimanapun, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menimbang tiga lagi calon menteri besar, sebelum memilih ADUN Bukit Antarabangsa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada 2018 pula, ADUN Tambun Tulang Ismail Kassim mempunyai sokongan majoriti ADUN di Perlis tetapi Sultan Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memilih Azlan Man sebagai menteri besar.

Azlan merupakan menteri besar terakhir yang dilantik selepas PRU ke-14, 9 Mei tahun lepas. Pelantikan beliau dijalankan tanpa kewujudan kabinet kerana semua adun BN memboikot upacara angkat sumpah.

Dalam kedua-dua kes tersebut, parti yang terlibat tidak mencabar pelantikan itu di mahkamah.
Bagaimanapun, untuk kes di Sabah pada 2018, ADUN Sungai Sibuga Musa Aman mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai ketua menteri.

Seperti tindakan Mohamad Nizar pada 2009, Musa mendakwa Gabenor Sabah tidak boleh memecatnya selaku ketua menteri dan memfailkan saman pemula bagi mengisytiharkan pelantikan Mohd Shafie sebagai tidak sah dan terbatal.

Bagaimanapun, hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak saman tersebut dan memutuskan Mohd Shafie kekal sebagai ketua menteri.

Keputusan itu disandarkan pada insiden yang berlaku di Perak apabila ketua negeri boleh menentukan sokongan majoriti ketua eksekutif tanpa melalui undian sokongan dalam DUN.

Tiga contoh di atas menunjukkan bahawa kaedah pelantikan ketua eksekutif boleh menjadi punca ketegangan dan ketidaktentuan politik disesebuah negeri. – SM

(Visited 376 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button