fbpx
Politik

Berdoa, berlutut untuk raja, PM dan ahli Parlimen terus buat perkara betul

KEMELUT politik semalam dengan laporan spekulasi berlakunya perubahan kerajaan semalam dianggap sebagai hari yang panjang untuk menonton berita oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Justeru beliau mengajak rakyat agar berdoa supaya Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan ahli Parlimen melakukan tindakan yang betul.

“Jadi bagi mereka yang berdoa, berlutut dan bersabar untuk raja kita, perdana menteri kita dan ahli Parlimen kita bahawa mereka akan terus melakukan perkara yang betul untuk Malaysia.

“Untuk yang lain, jangan putus asa. Ramai rakyat Malaysia yang baik masih bekerja keras hari ini untuk mengubah ekonomi dan menghentikan penyebaran Covid-19. Ingat, satu atau dua orang boleh membuat perbezaan,” kata Ahli Parlimen DAP itu di Facebook beliau.


Semalam pemimpin Bersatu, UMNO, Pas, parti dari Sabah dan Sarawak serta sebilangan besar pemimpin PKR yang memihak kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masing-masing melakukan mesyuarat tergempar di lokasi berbeza.

Selepas selesai mereka kemudiannya bertemu di sebuah hotel pada sebelah malam sekaligus mencetuskan spekulasi berhubung kemungkinan pengaturan semula politik dan pembentukan kerajaan baru.

Suasana di Istana Negara sibuk dengan banyak kenderaan dilihat memasuki istana sejak jam 5.30 petang, sesetengahnya bersama polis pengiring. Kenderaan berkenaan dilihat meninggalkan istana kira-kira dua jam kemudian.

Jelas Hannah, berita tersebut mengingatkan beliau mengenai keadaan di Dewan Undangan Selangor yang pernah ribut apabila berlaku cubaan untuk mengubah kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata, pada waktu itu beliau yang merupakan ADUN Subang Jaya cuba mengenal pasti siapa musuh dan siapa kawan bagi menyelamatkan kerajaan Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

“Semalam adalah hari yang panjang menonton berita itu.  Perasaan biasa yang saya alami sekali ketika saya adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor – apabila anda melihat sekeliling cuba membezakan rakan dan musuh.

“Anda mesti berasa selesa ketika mengetahui kemudian, dua wakil rakyat berdiri dan menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat dan menyelamatkan kerajaan negeri. Kadang-kadang satu atau dua boleh membuat perbezaan,” kata Hannah.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button