Politik

Cadangan lanjut operasi kedai makan dibawa ke MKN

RAKYAT Malaysia mungkin perlu menunggu pengumuman daripada Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai lanjutan operasi restoran.

Ini kerana, perkara tersebut sudahpun dimaklumkan kepada beliau dan dilaporkan hal itu dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sekiranya, operasi gerai makan atau restoran dilanjutkan, ia pasti dapat melegakan rakyat Malaysia terutama yang pulang bekerja lewat petang atau malam.

Bagaimanapun, jika operasi premis makanan dilanjutkan, garis panduan prosedur operasi standard (SOP) tetap perlu dipatuhi dalam memastikan rantaian Koronavirus (Covid-19) dapat diputuskan.

“Saya sudah berhubung telefon dan berbincang panjang dengan Ismail Sabri sebentar tadi akan rintihan rakyat.


“Mengenai keperluan untuk dilanjutkan waktu operasi restoran atau kedai makan sehingga pukul 10 malam.

“Bagi membolehkan perkhidmatan penghantaran makanan memenuhi pesanan mereka yang pulang berkerja lewat petang.”

Demikian kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kepentingan rakyat itu dimaklumkan kepada Ismail Sabri.

Terdahulu, beberapa pihak termasuk UMNO dan Ahli Parlimen Muar, Lembah Pantai dan Petaling Jaya menggesa kerajaan meminta kerajaan melanjutkan operasi premis makanan.

Lanjutan itu digesa kerana orang ramai terutama yang pulang bekerja di luar waktu pejabat sukar untuk mendapatkan makanan.

Malah, perkhidmatan e-hailing makanan turut menutup waktu pesanan lebih awal bagi mematuhi SOP yang menghadkan operasi premis makanan sehingga pukul 8 malam sahaja.

Oleh demikian, Asyraf Wajdi juga memaklumkan, Anggota Kabinet UMNO itu memberi jaminan mendengar rintihan rakyat yang menghadapi kesukaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Insya Allah, Menteri memberi jaminan bahawa beliau sememangnya mendengar suara hati rakyat yang resah ini dan akan membawanya ke dalam MKN untuk dipertimbang dan diputuskan.

“Dengan mengambil kira SOP yang ketat tanpa berkompromi dengan agenda memutuskan rantaian Covid-19 yang makin mengganas.

“Terima kasih Datuk Seri atas pertimbangan dan perhatian kepada suara rakyat,” ujarnya. – SM

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP2.0 di enam negeri yang menghadkan operasi pelbagai sektor perniagaan bermula pukul 7 pagi sehingga 8 malam.

Enam negeri itu adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.

Baru-baru ini, Ismail memaklumkan Kelantan dan dua daerah di Negeri Sembilan iaitu Port Dickson dan Seremban diumumkan sebagai kawasan PKP. – SM

(Visited 50 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button