fbpx
Hiburan

Ada yang datang BubbleBee semata-mata nak maki saya – Shuib

ADA yang datang ke BubbleBee semata-mata hendak maki saya berkenaan dengan kes Macau Scam yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Perkara itu yang terpaksa dihadapi oleh pelawak, Shuib walaupun ketika itu dia hanya dipanggil untuk beri keterangan sahaja.

“Ada yang kata saya makan duit oranglah. Suruh saya tutup kedailah. Datang dan tiba-tiba maki depan saya pun ada, tapi tak ramailah.

“Semua yang berlaku itu saya anggap sebagai sebahagian daripada perjalanan perniagaan yang saya perlu hadap,” katanya dalam sesi sidang akhbar secara maya semalam.

Ditanya mengenai status kes tersebut, jelas Shuib, peguamnya sudah memberitahu yang dia sudah bebas daripada siasatan.


Menurutnya, dia mungkin akan meminta pihak SPRM untuk mengeluarkan satu kenyataan atau mengadakan satu sidang akhbar berkaitan siasatan kes tersebut.

“Peguam ada juga bertanya sama ada saya mahu mengambil tindakan terhadap individu-individu yang melemparkan fitnah terhadap saya.

“Tetapi saya enggan memanjangkan perkara tersebut. Anggap sahajalah saya sudah memaafkan mereka,” katanya.

Terbaharu, muncul juga isu berkaitan pembukaan BubbleBee di Kuantan, Pahang yang didakwa beroperasi tanpa lesen.

Shuib berkata, dia sedar dengan masalah yang berlaku dan mengakui pihaknya melakukan kesilapan dalam kes tersebut.

“Selalunya kita memang ada individu yang bertanggungjawab menyelesaikan bab lesen tersebut dan kita sangka semuanya sudah selesai pada pagi tersebut.

“Lagipun bagi cawangan lain, kita memang selalu gunakan khidmat individu tersebut dan tiada sebarang masalah berlaku,” katanya.

Cuma menurut Shuib, ada sedikit kelewatan dalam proses lesen di Kuantan itu dan pihaknya tidak sedar berkenaan perkara itu.

Tambahnya, dia juga mengakui yang kesilapan itu berpunca daripadanya namun proses tersebut telah selesai dan cawangan itu sudah beroperasi seperti biasa keesokan harinya. -SM

(Visited 98 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button