BeritaPendidikan

Cabaran utama universiti untuk kekal relevan sepanjang zaman – Raja Perlis

KANGAR: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan bahawa cabaran besar sesebuah universiti termasuklah Universiti Sains Malaysia (USM) pada masa ini ialah bagaimana untuk universiti dan akademia kekal relevan dalam memberi sumbangan terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Bukan sahaja bagi melahirkan siswazah berkualiti dan berintegriti sebagai pemimpin masa depan tetapi juga untuk pihak berkuasa, pembuat dasar dan pelaksana dasar menerima sebarang idea dan pemikiran ilmuwannya dalam melakukan perubahan.

Baginda juga berharap sumbangan ahli akademik dan ilmuwan USM terus dihargai serta dijadikan sumber rujukan dalam menyelesaikan masalah negara dan pada masa yang sama mendoakan agar universiti ini terus berupaya melakukan perubahan dan memberi sumbangan kepada masyarakat, negara dan dunia seluruhnya.

Tuanku Raja turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh kepimpinan dan pengurusan beserta juga seluruh warga USM yang terus cemerlang walau pun berdepan dengan Covid-19 kerana sememangnya wabak ini telah menjadi cabaran besar kepada dunia seluruhnya dan mengubah norma hidup yang ada. Tetapi dengan dunia digital dan internet sekarang ini nampaknya kita menjadi lebih kreatif dan inovatif menghadapi segala cabaran yang ada.

Demikian titah ucapan baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor USM di ‘Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2020 Universiti Sains Malaysia’ yang diadakan di Dewan Bakawali, Mess Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia, Jalan Raja Muda, Kangar Perlis pada malam semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Pro-Pro Canselor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor serta kepimpinan tertinggi universiti.

Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir ke majlis tahunan bagi USM mengiktiraf dan mendorong pencapaian warganya untuk terus cemerlang dalam akademik, penerbitan, penyelidikan mahu pun pentadbiran di dalam negara dan pentas antarabangsa pada kali ini adalah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman.

Antara anugerah-anugerah yang disampaikan di majlis tersebut ialah Anugerah Sanggar Sanjung ‘Kategori Ketokohan’ oleh Tuanku Raja sendiri, ‘Kategori Paten’ daripada Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, ‘Kategori Penerbitan Jurnal dan Kategori Geran Penyelidikan Antarabangsa’ melalui Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan dan 4 Anugerah terdiri daripada Pendidik Sanjungan, Pentadbir Sanjungan, Sanjungan Industri dan Kepimpinan Masyarakat daripada Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A.Hassan.

Tuanku Syed Sirajuddin di akhir program turut berkenan menandatangan plak perasmian Ulangtahun Penerbit USM ke-50.

(Visited 370 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button