Rencana

Bunuh diri dan perbuatan jenayah

oleh ROOS NIZA MOHD SHARIFF

MALAYSIA adalah salah satu daripada beberapa negara yang masih menganggap perbuatan bunuh diri sebagai jenayah.

Selaras dengan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2019  yang bertemakan ‘Bersama Mencegah Bunuh Diri’, (Working Together to Prevent Suicide), wajar disarankan kesedaran kepada masyarakat bahawa gejala bunuh
diri semakin meningkat dan perlu ditangani dengan berkesan, termasuklah juga dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut merekodkan bunuh diri sebagai 10 penyebab kematian di dunia.

Menurut kajian oleh Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (KKMK), perbuatan bunuh diri dalam kalangan remaja di Malaysia menunjukkan peningkatan.

Berdasarkan kajian ini, remaja Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun mempunyai keinginan membunuh diri 10 peratus lebih tinggi berbanding 7.9 peratus pada 2012.

Manakala bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 20 ahli keluarga atau rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.

Undang-undang Malaysia terhadap perbuatan bunuh diri adalah merujuk kepada undang-undang dari India tetapi India tidak lagi menganggap membunuh diri sebagai jenayah apabila dewan rendah parlimen negara itu pada Mac tahun lalu meluluskan Rang Undang-undang Penjagaan Kesihatan Mental 2016.

Rang undang-undang itu menganggap individu yang cuba bunuh diri menderita sakit mental apabila melakukan
perbuatan itu dan dia tidak akan dihukum kerana perbuatan berkenaan.

Kebanyakan dorongan kepada gejala bunuh diri adalah kesan daripada isu kemurungan dan stres yang tidak tidak dapat diatasi dengan baik dan cepat.

Merawat dan menangani isu kesihatan mental daripada peringkat awal sebelum ia membawa kepada
gejala bunuh diri adalah sangat penting dan perlu dilakukan oleh setiap lapisan masyarakat.

Selaras dengan itu, wajar kerajaan membincangkan kembali Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman kepada individu yang cuba membunuh diri kerana perbuatan itu tidak sepatutnya disifatkan sebagai satu kesalahan jenayah.

Percubaan membunuh diri merupakan masalah kesihatan mental yang didorong oleh tekanan hingga menyebabkan kemurungan.

Namun begitu, menurut Kanun Keseksaan, individu disabit kesalahan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Secara dasarnya ini bermaksud mereka yang melakukan cubaan membunuh diri tetapi tidak berjaya, akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Dapatkah hukuman ini menyelesaikan masalah bunuh diri? Tidak mustahilkah peruntukan hukuman ini boleh mendorong pelaku mencuba lagi untuk menjayakan cubaan bunuh dirinya yang gagal terdahulu?

Perbuatan bunuh diri lebih kepada permasalahan kesihatan mental yang memerlukan mereka yang terlibat menerima rawatan yang sewajarnya seperti menjalani proses pemulihan dengan berjumpa pakar psikiatri, atau terapi berkumpulan yang boleh membantu meringankan bebanan tekanan mental yang mereka alami.

Keputusan kerajaan mengarahkan Jabatan Peguam Negara mengkaji cadangan untuk mengeluarkan jenayah
cubaan bunuh diri dari Kanun Keseksaan adalah tepat.

Di antara langkah-langkah yang boleh dilakukan ialah mengambil serius mengenai masalah mereka, mengambil masa untuk mendengar keluhan serta mengambil berat dan memberikan sokongan sosial.

Bagi keadaan yang semakin serius, mereka perlu dibantu dengan mendapatkan rawatan pakar atau hubungkan mereka dengan perkhidmatan yang sedia ada.

Perlindungan insurans perubatan patut turut meliputi kecelaruan psikiatri seperti di Singapura yang mengambil inisiatif untuk membantu pesakit menanggung kos rawatan membabitkan kesihatan mental.

Ramai juga yang tidak tahu bahawa Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan saringan dan rawatan bagi masalah kesihatan mental di 60 hospital kerajaan, 1001 klinik kesihatan di peringkat kesihatan primer dan 25 Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI).

Individu yang mempunyai masalah kesihatan mental boleh juga mendapatkan bantuan melalui talian bebas tol 24 jam 03-79568145 dikendalikan NGO The Befrienders. – SM

Roos Niza Mohd Sshariff adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button