NasionalNegeri

Buah sulung “Sea Sweet Golden Melon” Taman Desa Asnaf MAIPs dituai

Tuanku Syed Faizuddin Putra disembah maklum memgenai buah “Sea Sweet Golden Melon” ketika melawat Ladang Taman Desa Asnaf MAIPs di Batu Bertangkup, Chuping sempena Program Kayuhan MAIPs Peduli.

SEBANYAK 1, 200 biji buah sulung “Sea Sweet Golden Melon” keluaran Taman Desa Asnaf Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sudah mula dituai dan berada di pasaran sekarang.

Bagi yang berhasrat untuk membeli boleh mendapatkannya di Ladang Taman Desa Asnaf MAIPs di Batu Bertangkup, Chuping mulai pukul 10 pagi hingga 4 petang dengan harga RM15 sekilogram (kg).

Projek yang diuruskan melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) di kawasan seluas 14 ekar ini sumbangan asalnya oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), merupakan pusat latihan yang merangkumi komponen kemahiran agroekonomi dan juga penempatan kediaman golongan asnaf fakir dan miskin.

Buah “Sea Sweet Golden Melon” ini mempunyai keistimewaan tersendiri antaranya dua kali lebih manis mencecah bacaan brix 16 ke 18 berbanding tanaman jenis keluarga tembikai wangi lain di samping warnanya yang kuning keemasan menarik minat masyarakat dan lebih ekonomik dan mudah diuruskan oleh pengusahanya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi anakanda Syed Sirajuddin Areeb Putra berkenan mengurniakan sumbangan zakat MAIPs pada salah seorang asnaf sempena Program Kayuhan MAIPs Peduli sekitar Chuping.

Demikian dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor pada sesi taklimat beliau kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena program Kayuhan MAIPs Peduli.

Berangkat sama ialah anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Baginda berdua berkenan dengan memulakan ‘simbolik kutipan hasil’ iaitu memotong tangkal buah ketika lawatan tersebut.

Untuk rekod, selain komponen agro yang melibatkan aktiviti tanaman rock melon dan ternakan ikan serta penempatan, ladang ini turut dilengkapi dengan Villa Tamu, Homestay Inapan Musafir, Pusat Celik Minda, Pusat Komputer, Surau, Tadika, padang bola mini, padang permainan dan sebagainya.

Dalam program yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan menyantuni tiga keluarga asnaf terpilih bagi menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs.

Ia melibatkan Haziman Adam dan Had Isa yang keduanya tinggal di Kampung Ayer Timbul dan juga Noor Azmi Amran di Kampung Bukit Jernih.

Masing-masing menerima RM700 tunai, sekampit beras dan ‘Kits MAIPs Peduli’ berisi bahan makanan mentah.

Raja Muda turut berkenan singgah di Taman Rekreasi Bukit Jernih bagi menyokong kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Taman Rekreasi Bukit Jernih ini telah mendapat pengiktirafan sebagai salah satu Geotapak di Malaysia kerana mempunyai pelbagai struktur geologi penting iaitu batu kapur Formasi Chuping yang berusia 240 juta tahun yang dipenuhi pelbagai jenis fosil dan geotrail.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan singgah di Taman Rekreasi Bukit Jernih sempena Program Kayuhan MAIPs Peduli sekitar Chuping.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Taman Rekreasi Bukit Jernih ini termasuklah mendaki Bukit Jernih, memanjat dinding bukit, meneroka gua, berkhemah, berjogging santai dan berkayak di Sungai Jernih.

Bagi yang berkeluarga juga boleh beriadah seperti berkelah dan mandi-manda di sungai berdekatan. – SM

BACA Timbalan Menteri Kesihatan tertarik program saringan kesihatan untuk asnaf di Perlis

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button