MahkamahNasional

Tuduhan Isham Jalil hina mahkamah didengar 4 Mac ini

NAMA Isham Jalil, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO ‘naik’ di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan menghina mahkamah.

Semalam, beliau dimaklumkan oleh wartawan Utusan Malaysia bahawa hari ini terdapat pengurusan kes di Mahkamah Tinggi berkenaan kes tuduhan menghina mahkamah terhadap beliau oleh Peguam Negara.

Menurut catatan Isham semalam, Peguam Negara ingin mendapatkan perintah mahkamah supaya beliau dipenjara atau didenda. Namun beliau dan peguamnya tidak pun dimaklumkan berkenaan pendengaran pengurusan kes hari ini.

Oleh itu, kata Isham, beliau mengandaikan pembentangan kes ini dilakukan oleh Peguam Negara di mahkamah secara ex-parte sekali lagi atau satu pihak sahaja tanpa beliau yang dituduh, sekali lagi seperti sebelum ini.

Hari ini, kata Isham, beliau baharu dimaklumkan bahawa mahkamah telah membuat keputusan pagi tadi bahawa pendengaran kes tuduhan menghina mahkamah oleh Peguam Negara terhadapnya akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 4 Mac ini.

Setakat ini pendengaran ini akan sekali lagi dibuat secara satu pihak (ex-parte) hanya oleh Peguam Negara tanpa pihaknya di hadapan hakim.

“Peguam Negara mahu penjarakan saya, namun dia tidak mahu saya atau peguam saya hadir pada pendengaran kes ini.

“Ini amatlah pelik. Peguam saya akan memohon untuk hak tertuduh untuk didengari (rights to be heard) kepada mahkamah,” jelas Isham dalam catatannya.

Sebelum ini, Isham berkata, beliau telah mengkritik tiga orang hakim kerana mereka dilihat bias atau mempunyai konflik kepentingan dalam kes Datuk Seri Najib Razak.

Kata Isham, “Ya, Nazlan pernah menjadi peguam atau penasihat Maybank semasa SRC ditubuhkan yang mana Maybank terlibat secara langsung dengan penubuhan SRC.

“Suami Ketua Hakim, Tengku Maimun pula didapati membuat ulasan-ulasan negatif ke atas Datuk Seri Najib dan Hakim Sequerah pula pernah menjadi rakan kongsi kepada seseorang yang terlibat secara langsung dengan 1MDB,” kata Isham dalam catatannya.

Seterusnya, kata Isham lagi, Hakim Sequerah hanya mengaku kenal dan menjadi rakan kongsi kepada bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo hanya baru-baru ini pada bulan Ogos 2023 apabila Jasmine Loo mungkin akan dipanggil sebagai saksi, lebih empat tahun selepas perbicaraan kes 1MDB bermula.

“Dan beliau (YA Sequerah) menjadi hakim kes tersebut padahal nama Jasmine Loo telah disebut sebanyak 673 kali sepanjang empat tahun perbicaraan yang beliau hakimi,” ujar Isham.

Dalam pencerahannya, Isham berkata, dalam doktrin undang-undang keperlembagaan (constitutionalism) terdapat maxim yang amat penting iaitu “Nemo judex in causa sua” (‘no one is judge in their own cause’ atau seseorang tidak boleh menjadi hakim ke atas kepentingannya sendiri’).

Doktrin dan maksim ini dipegang dan diangkat sebagai salah satu asas untuk menjaga integriti dan kredibiliti hakim serta badan kehakiman.

Namun demikian prinsip ini telah dilanggar apabila hakim-hakim yang terlibat dengan kes Datuk Seri Najib ini tidak mengecualikan diri mereka yang telah mengundang pelbagai teguran dan kritikan daripada rakyat termasuk dari saya sendiri, kata Isham.

“Namun teguran-teguran ini tidak diendahkan malah dalam kes berprofil tinggi yang melibatkan bekas Perdana Menteri ini, tiga orang hakim yang dilihat mempunyai konflik kepentingan atau dalam kata lain bias, dilihat bias atau berisiko tinggi untuk menjadi bias yang sepatutnya mengecualikan diri mereka telah mengambil keputusan untuk terus menjadi hakim dalam kes-kes ini,” kata Isham.

Beliau berkata, malah sebaliknya, teguran-teguran rakyat termasuk teguran dan kritikannya telah diambil secara defensif dan ditakrif pula oleh Pejabat Peguam Negara sebagai menghina mahkamah dan atas sebab ini Pejabat Peguam Negara mahu mengkomitkan saya ke dalam penjara.

“Saya sudah lama nampak bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem perundangan kita, ia perlu direform.

“Namun kerajaan hari ini bukan serius untuk mereform apa-apa, ia hanya sibuk ingin tangkap pengkritik-pengkritik kerajaan termasuk saya untuk disumbat dalam penjara supaya mereka boleh mengekalkan kuasa walaupun rakyat terus menderita dengan keadaan ekonomi yang terumbang-ambing.

“Saya tidak takut dengan ugutan-ugutan ini, bak kata pepatah Melayu “berani kerana benar”. Dan saya boleh mengagak siapa di belakang ini semua.

“Saya harap kamu bertaubat segera sebelum Allah membalas kifarah ke atas kamu di dunia atau di akhirat,” kata Isham. – SM

BACA “Saya bukanlah sebodoh yang dia sangka, berdebat di gelanggang berat sebelah”-Isham Jalil

BACA Perihal pemecatan Isham Jalil daripada UMNO

(Visited 46 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button