Nasional

BPN: Bekas kakitangan Utusan berputih mata

LHDN menggunakan data lama

IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga. Ramai bekas kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan) yang diberhentikan kerja sejak Oktober tahun lepas kecewa kerana gagal mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana dikatakan tidak layak.

Selain daripada lebih 1,000 bekas kakitangan Utusan yang tidak mendapat bantuan itu, dipercayai nasib yang sama dialami oleh lebih 100,000 rakyat negara ini yang mengalami nasib yang sama iaitu diberhentikan kerja tahun lepas dan tahun ini.

Menurut bekas kakitangan akhbar itu, apa yang lebih malang, sehingga kini, bekas kakitangan Utusan masih belum menerima tunggakan gaji sepenuhnya dan juga tidak mendapat apa-apa bayaran imbuhan pampasan daripada bekas majikan.

Utusan yang merupakan penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo, selain majalah telah ditutup operasinya pada 9 Oktober tahun lepas kerana diistiharkan bankrap yang menyebabkan 860 orang kakitangan kehilangan pekerjaan.

Selain mereka, terdapat lebih 800 bekas kakitangan lagi yang mengambil Skim Perberhentian Sukarela (VSS) pada tahun  2018 juga masih belum menerima bayaran VSS mereka sepenuhnya.

Rata-rata bekas kakitangan Utusan masih belum mendapat pekerjaan baru dengan majoriti hanya melakukan kerja-kerja sampingan seperti memandu e-hailing atau berniaga kecil-kecilan dengan pendapatan sangat kecil untuk menyara kehidupan keluarga.

Alasan yang diberikan laman web BPN sebelum ini adalah ‘tidak layak kerana mempunyai pendapatan melebihi kelayakan’ dan alasan terbaru rayuan ditolak pula adalah “tidak layak kerana pendapatan melebihi RM4,000 atau RM8,000.”


Dipercayai, pihak yang menguruskan BPN menggunakan semakan yang sama seperti sebelum ini iaitu hanya menggunakan data pendapatan pemohon dan perayu berdasarkan pendapatan yang direkodkan LHDN tahun lepas.

“Kami semua tiada kerja sejak Oktober tahun lepas dan masih mencari kerja baru. Kenapa dikatakan masih mempunyai pendapatan melebihi RM8,000?,” tanya Wan Norashikin, salah seorang bekas editor majalah di syarikat media tersebut.

Katanya, kebanyakan daripada bekas kakitangan Utusan yang diberhentikan kerja dan yang mengambil VSS kini hanya melakukan kerja-kerja sampingan untuk menyara kehidupan dengan pendapatan kurang daripada RM4,000.

“Sepatutnya, dalam borang rayuan, BPN meminta bukti pendapatan permohonan baru atau rayuan tetapi borang rayuan/permohonan baru sangat ringkas hingga membuatkan ramai rakyat yang tidak layak juga memohon,” tambahnya.

Katanya, tiada ruangan bukti pendapatan yang mana akan membolehkan bekas kakitangan Utusan atau mana-mana bekas kakitangan yang dibuang kerja memuatnaik dokumen mereka diberhentikan kerja.

“Sepatutnya, dalam borang rayuan, BPN meminta bukti pendapatan permohonan baru atau rayuan tetapi borang rayuan/permohonan baru sangat ringkas hingga membuatkan ramai rakyat yang tidak layak juga memohon.” – Bekas Kakitangan Utusan

Menurut seorang lagi bekas penolong editor akhbar Utusan Malaysia, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana sudah tentu pegawai-pegawai kerajaan termasuk LHDN mengetahui yang syarikat Utusan Melayu telah ditutup tahun lepas.

“Saya yakin ramai ratusan ribu lagi rakyat Malaysia yang dibuang kerja akhir tahun lepas dan tahun ini gagal dalam rayuan mereka untuk mendapatkan BPN walaupun Perdana Menteri menegaskan sesiapa sahaja yang layak tidak akan terkecuali mendapat bantuan ini,” tambahnya.

Editor yang ingin dikenali sebagai Syarifah Mariam itu juga menyatakan dia dan beberapa rakan yang belum berkahwin juga tidak mendapat bantuan untuk kategori bujang seperti sepatutnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button