NasionalNegeri

Bot kelas C ditahan langgar syarat lesen

SEBUAH bot Kelas C ditahan bersama seorang tekong dan lima awak-awak termasuk seorang warga Thailand ditahan setelah didapati menangkap ikan pada 1.5 batu nautika dari Pulau Timun, Langkawi, semalam.

Bot nelayan tempatan bernombor pendaftaran KF 5562 telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis pada kira-kira pukul 1.15 pagi.

Sebuah bot kelas C yang ditahan di Pulau Timun, Langkawi. Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot nelayan yang berpangkalan di Kuala Kedah itu didapati telah melanggar syarat lesen.

“Syarat lesen ini hanya memberi kebenaran menangkap ikan pada jarak 15 batu nautika ke atas sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bot tersebut didapati telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat lesen.

Mohd Hashim berkata, tekong dan awak-awak yang ditahan dalam bot berkenaan berumur lingkungan 26 hingga 33 tahun manakala warga Thailand pula lingkungan 38 tahun.

“Bot nelayan berkenaan ditunda dalam keadaan gelap oleh mereka demi untuk mengaut keuntungan dan ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan,” kata Mohd Hashim.

Katanya, hasil pemeriksaan juga turut ditemukan dua bidang pukat tunda, dua papan tunda serta lebih kurang 800 kilogram ikan campur.

Tambahnya, tekong dan awak-awak termasuk bot dan hasil tangkapan ikan telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Anggaran keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin, pukat tunda, papan tunda dan ikan campur sekitar RM501,000,” katanya.

Maritim Malaysia akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 344 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button