MahkamahNasional

BNM ambil masa 7 tahun kesan dana 1MDB dipindah ke akaun Jho Low

TAN Sri Zeti Akhtar Aziz memberitahu perbicaraan 1MDB Datuk Seri Najib Razak bahawa Bank Negara (BNM) mengambil masa tujuh tahun untuk mengesan sebahagian besar dana 1MDB yang dipindah ke akaun dikawal oleh Low Taek Jho atau Jho Low.

Bekas gabenor BNM itu berkata, “ia mengambil beberapa tahun untuk mengesan” transaksi antarabangsa sedemikian dan menafikan tempoh itu terlalu lama.

Pada 2009, 1MDB menjalin usaha sama dengan PetroSaudi International (PSI yang memerlukan syarikat itu menyuntik modal USD1 bilion.

BNM memberi kelulusan untuk 1MDB memasukkan suntikan tunai ke akaun bank 1MDB-PSI tetapi hanya USD300 juta dipindahkan.

Kemudian, muncul baki USD700 juta dimasukkan ke akaun syarikat Jho Low, Good Star Limited di bank swasta RBS Coutts.

Menjelaskan bagaimana transaksi itu dikesan, Zeti berkata: “Ia usaha terkumpul pengawal selia dari seluruh dunia, bersama siasatan dalaman BNM melalui Sistem Maklumat Transaksi Antarabangsa (ITIS) dan kod Swift.”

Katanya lagi, siasatan itu dimulakan selepas 1MDB gagal memberi maklumat untuk menjelaskan transaksi tersebut.

Zeti memberitahu mahkamah, BNM turut menyiasat Deutsche Bank Bhd pada 2013 berhubung pemindahan dana asing membabitkan 1MDB, tetapi tiada tindakan diambil ke atas bank itu.

“1MDB menyerahkan maklumat salah. Deutsche Bank bertanya soalan susulan kepada 1MDB, tetapi mereka hanya mendapat jawapan ia (Good Star) anak syarikat PSI.”

Beliau berkata, bank bertanggungjawab melakukan usaha wajar dan melaporkan transaksi dalam sistem perbankan dalam talian sebelum menghantar dana.

“Kadar kiriman wang asing harian (di Malaysia ketika itu) ialah USD12 bilion. BNM juga tidak dapat melakukan usaha wajar ke atas akaun seseorang individu.

“BNM (tidak) bertanggungjawab kerana ia bukan kewajipan kami bawah undang-undang.”

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang lebih RM2.28 bilion, didakwa milik 1MDB, yang dimasukkan ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah. – SUMBER FMT – SM

BACA Zeti Akhtar hadir kes 1MDB

BACA Nama Jho Low kembali muncul pada perbicaraan rasuah Najib membabitkan dana 1MDB

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button