pilihanPolitik

BN Perak tak terdesak dengan jawatan MB, saya yang takut hilang peluang – Saarani Mohamad

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan penggabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan kerajaan campuran negeri Perak adalah kerana BN yang terdesak mahukan jawatan Menteri Besar.

Beliau berkata, sebaliknya BN Perak sudah bersedia menjadi pembangkang kerana menginsafi bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi BN iaitu sebanyak sembilan kerusi sekali gus bukan dominan.

Katanya, bukan BN yang hendak jawatan Menteri Besar sebaliknya kedudukan itu ditawarkan sendiri oleh PH jika bersetuju dengan kerajaan campuran Perak antara BN dan PH itu.

“BN bersedia menjadi pembangkang sebab kami sedar diri yang kita kalah. Tetapi bila ada mana-mana parti (PH) yang tawarkan kami untuk bentuk kerajaan dan memberi peranan kepada kami untuk turut serta dalam pentadbiran kerajaan, sudah semestinya saya kena terima.

“Kalau tak terima, tentu ahli (BN) akan kata saya bodoh… Betul tak? Tapi (dan) peranan yang ia bagi itu (Menteri Besar) sesuai pada saya sebab saya (sebelum ini) adalah orang yang mengendalikan agenda Perak Sejahtera 2030, jadi saya nak teruskannya dan sebab itu saya terima,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Istiadat Mengangkat Sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-15 yang berlangsung di Istana Iskandariah, di sini, petang tadi.

Saarani memberi reaksi itu ketika diminta mengulas berhubung kenyataan segelintir penganalisis politik yang mendakwa BN memilih PH berbanding Perikatan Nasional (PN) adalah kerana hendakkan jawatan Menteri Besar.

Menurut Saarani, BN Perak menerima tawaran PH berhubung jawatan Menteri Besar berbanding dari Perikatan Nasional (PN) yang tidak sempat mengadakan pertemuan empat mata bagi berunding serta diberikan sebarang peranan.

“Berbanding PN, mereka tidak datang berjumpa saya untuk berunding atau diberi sebarang peranan, jadi sebab itu saya pilih PH.

“Memang pada awal pagi 20 November (semalam) saya ada dikunjungi Setiausaha Perhubungan PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, tetapi dia hanya diberikan mandat untuk menguruskan perjumpaan antara saya dengan Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pengerusi PN Perak).

“Zainol tidak boleh buat apa-apa ketika itu (mengemukakan tawaran). Tetapi pada 10 pagi semalam sebelum hadir mesyuarat Biro Politik Umno, saya berjumpa Peja dan Zainol dan maklumkan pada mereka bahawa saya sudah diberi tawaran oleh PH seterusnya menyarankan agar mereka pula mengemukakan tawaran.

“Namun tiada apa-apa tawaran saya terima daripada mereka (PN). Sedangkan Dun serta kerajaan Perak perlu segera wujud bagi membolehkan Bajet kerajaan negeri diluluskan,” katanya yang menyifatkan nama sementara kerajaan perpaduan BN-PH Perak ini sebagai ‘Kerajaan Perpaduan Perak’.

Saarani berkata, Mesyuarat Khas Badan Perhubungan Umno Perak diadakan pada malam ini bagi menjelaskan situasi dan keadaan sebenar serta rasionalisasi kepada semua jawatankuasa badan perhubungan mengenai keadaan yang berlaku.

“Malam ini saya akan terangkan kepada semua jawatankuasa badan perhubungan apa sudah berlaku dan Insya-Allah kita akan buat keputusan susulan untuk kita turun padang bagi memaklum dan menerangkan kepada semua ahli mengapa rasionalnya kita ambil tindakan sebegini (perpaduan bersama PH).

Katanya, tiga Exco dari BN akan turut mengangkat sumpah pada 11.30 pagi esok di Istana Iskandariah, di sini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button