AnalisisMahkamah

Black Monday buat Zahid Hamidi

SEKARANG sedang mendung, bunyi guruh menandakan hari nak hujan. Pagi tadi, bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima keputusan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan rasuah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk beliau bela diri.

Hari ini bolehlah dianggap sebagai Black Monday buat Presiden UMNO dengan kes yang diputuskan oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah pagi tadi.

Namun begitu, benarlah jika dikatakan, Ahmad Zahid yang baharu menyambut hari lahirnya bulan ini dan genap berusia 69 tahun, belum diputuskan bersalah kerana beliau akan membela diri pada 26 April ini nanti.

Itulah tarikh yang dimohon oleh Ketua Peguambela beliau, Hisyam Teh Poh Teik yang memberi empat sebab mengapa tarikh itu menjadi pilihan.

Kata Hisyam, daripada 37 saksi, beliau akan memanggil lebih kurang 20 saksi untuk diambil keterangan dan keterangan saksi (witness statement) ini akan mengambil masa selama 14 hari.

Pihak barisan pembelaan Ahmad Zahid juga perlu mengumpul dokumentasi-dokumentasi untuk prosiding bela diri nanti.

Seperkara lagi, kata Hisyam, mereka meminta ditambah tempoh seminggu setengah kerana Ahmad Zahid turut berhadapan dengan 40 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.

Panjang sungguh ‘kisah kes perbicaraan’ Ahmad Zahid yang semuanya bermula pada 18 November 2019 dan kiranya dalam sejarah mahkamah apabila kes ini menampilkan 99 orang saksi.

Bayangkan 99 orang saksi, hari ini, kesemua 47 pertuduhan iaitu 12 CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan haram, tiada satu pun yang tidak dibuktikan prima facie oleh pihak pendakwaan. Kesemuanya disuruh bela diri.

27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta, lapan pertuduhan rasuah berjumlah RM21.25 juta dan 12 pertuduhan CBT berjumlah RM31.06 juta.

Kes Ahmad Zahid, dikira hitung, Ahli Parlimen Bagan Datok ini berhadapan dengan 87 kes termasuk di Shah Alam nanti iaitu menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara.

Barisan peguam Ahmad Zahid diketuai Hisyam dan Hamidi Mohd. Noh perlu bekerja keras untuk persiapan bela diri anak guam mereka.

manakala pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran boleh relaks sedikit pekena kopi! – SM

(Visited 558 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button