Belang Bertempat

Bila UMNO gali kubur sendiri

BELANG sebelum ini sering bertanyakan siapa para penasihat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana keputusan yang dibuatnya seringkali kelihatan aneh dan membahayakan parti.

Bagaimanapun apabila tersebar rakaman perbualan beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim nyatalah bekas guru politik beliau ialah penasihat misteri itu.

Patutlah seringkali nasihat yang diberi oleh para penasihat politik yang Belang kenali tidak dipakai dan keputusan yang dibuat jelas memberi kesan buruk kepada UMNO.

Setakat ini Anwar dan Zahid menafikan rakaman suara itu milik mereka, tetapi ramai yakin termasuk Belang, bahawa itu perbualan mereka.

Suara mungkin boleh ditiru, tetapi topik yang diperbincangkan terlalu khusus dan sukar difikirkan oleh mereka yang mahu meniru.

Jika ia secara rambang mungkin diterima akal, tetapi jika menjurus topik yang kebanyakan orang tidak tahu, ia menjelaskan lagi ketulenan rakaman perbualan itu.

Lagipun sehingga ke hari ini tiada laporan polis dibuat oleh kedua-dua pemimpin berkenaan sebagaimana yang dihebuhkan sebelum ini.

Jadi tidak hairanlah apabila tiba-tiba sahaja timbul pelbagai gerakan yang kebanyakan pemimpin tertinggi UMNO sendiri tidak tahu dan menyedarinya, termasuklah jajaran politik baharu.

Sedangkan UMNO sudah berada di dalam jajaran politik yang betul iaitu bersama-sama Pas dan Bersatu di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Gabungan tiga parti ini dan disokong oleh parti komponen lain dari Barisan Nasional dan parti dari wilayah Sabah dan Sarawak sudah cukup membolehkan  gagasan PN menang selesa pada pilihan raya akan datang.

Sangat aneh mengapa UMNO perlu membentuk jajaran politik baharu, sedangkan telah jelas dan nyata bahawa parti itu sudah mempunyai gabungan yang mantap dan memang telah menjadi kerajaan.

Apa yang perlu dilakukan hanya memperkukuhkan lagi gabungan itu sebelum berdepan dengan pilihan raya dan bukannya berterusan menebuk bahtera yang dilayari bersama.

Zahid sepatutnya menghentikan naratif bahawa beliau dan UMNO dianiaya oleh Bersatu dan Bersatu berniat mahu menguburkan UMNO, sebaliknya menyuburkan ukhuwah dalam kalangan ahli parti terbabit.

Ini tidak, pemimpin UMNO yang berada di dalam kerajaan hari ini pula yang dituduh sebagai penghkhianat, sedangkan mereka hanya melaksanakan tugas yang diamanah.

Bagaimana para menteri dan para pegawainya hendak bertugas jika setiap hari ugutan kerajaan ini akan dirobohkan berlaku hampir setiap hari.

Sedangkan negara sedang situasi getir berdepan dengan pandemik dan keadaan ekonomi yang buruk.

Tan Sri Annuar Musa yang asalnya sama-sama membantu Zahid memulihkan UMNO ketika kalah pada pilihan raya tempoh hari, memikul tanggungjawab besar bagi mengadakan rundingan dan perbincangan dengan Muhyiddin dihina dan dicerca dengan pelbagai tohmahan.

Gajah sama gajah bergaduh, kancil yang tersepit. Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang sering membela bosnya Annuar juga yang terkena getah. Beliau dituduh memburukkan nama baik presiden secara terbuka.

Akhirnya beliau digantung enam tahun keahlian, iaitu satu keputusan yang sangat tidak wajar kerana beliau adalah aset parti yang penting.

Ketika Annuar baharu memulakan rundingan tentang pembahagian kerusi pilihan raya, beliau telah ditendang keluar daripada jawatankuasa berkenaan kerana dituduh bersekongkol dengan Bersatu.

Perbuatan itu menyebabkan rundingan telah terhenti dan akhirnya Pas serta Bersatu memutuskan mendaftaran PN tanpa UMNO di dalamnya.

Ini satu tamparan yang hebat kepada UMNO kerana pada asal yang menggerakkan penyatuan tiga parti itu adalah UMNO sendiri melalui Muafakat Nasional.

Yang anehnya Tun Faisal bekas pengurus kempen ketika Zahid bertanding jawatan presiden tempoh hari dan Zahid juga mengarahkan Tun Faisal supaya bertugas membantu Annuar menjadi mangsa.

Kepercayaan itu pudar sekelip mata dan Zahid menjadi kedua-dua insan yang membantu beliau untuk bangkit semula karier politiknya sebagai musuh.

Annuar ditempelak supaya keluar dari UMNO, manakala Tun Faisal dikenakan tuduhan dan hukuman yang tidak masuk akal.

Timbul cakap-cakap bahawa Tun Faisal menjadi mangsa percaturan politik bahagian, kerana beliau merupakan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, pada masa yang sama Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan Ketua Bahagian berkenaan.

Apabila Tengku Adnan didapati bersalah terhadap tuduhan mahkamah beliau akan terpaksa melepaskan jawatan ketua bahagian dan tidak layak bertanding pada pilihan raya kelak, kecuali keputusan mahkamah rayuan memihak kepada beliau.

Tengku Adnan dikatakan sedang mempersiapkan anak beliau bagi mengambil alih tempat yang dianggap sebagai kerusi selamat, tetapi ancaman yang ada ialah Tun Faisal yang secara automatik akan mengambil alih tempat Tengku Adnan jika beliau melepaskan jawatan ketua bahagian.

Tengku Adnan bimbang Tun Faisal akan menyekat laluan anaknya yang tidak begitu popular di Putrajaya berbanding Tun Faisal dan itulah menyebabkan Setiausaha Akhbar Annuar itu berdepan dengan tuduhan tidak jelas dan dikenakan hukuman yang tidak wajar.

Tindakan sebegini menyebabkan Zahid yang segelintir pemimpin elit UMNO akan terus terperosok ke sudut ditinggalkan pemimpin lain dan mereka dilihat sebagai orang yang hanya mahu mencapai cita-cita peribadi tanpa memikirkan kepentingan parti.

Masyarakat memang sangat jelak dengan permainan politik tidak bermoral dan tidak bermaruah ini kerana ia jauh daripada menyantuni dan membela nasib rakyat yang majoriti hidup sukar berdepan dengan situasi ekonomi yang memburuk akibat pandemik Covid-19.

Di celah-celah kemelut itu nama Datuk Seri Mohamad Hasan kembali disebut sebagai orang yang boleh menyelamatkan keadaan. Bagaimanapun Mohamad atau Tok Mat tidak popular dalam kalangan ketua bahagian UMNO kerana sikap beliau yang terlalu keras.

Melihatkan situasi semasa mungkin Zahid sudah sampai ke tahap tempoh luputnya serta perlu memberi laluan kepada Tok Mat dan pada masa yang sama Tok Mat perlu belajar lebih toleransi dalam banyak perkara.

Jika sesuatu tidak dilakukan sebelum pilihan raya, UMNO akan berkubur kerana perbuatan pemimpinnya sendiri kerana parti itu tidak boleh kalah buat kali kedua.

Apabila UMNO tewas teruk tidak ada parti yang mahu bekerjasama dengannya dan akhirnya ia akan lenyap sendiri dek perbuatan pemimpin sendiri.

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button