fbpx
Politik

Bila agaknya Kit Siang akan jujur sebagai pembangkang konstruktif?

KOMENTAR

BARU saja dua bulan lepas, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan pentas politik bukan medan permainan kotor.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Gelang Patah itu menempelak ahli politik tertentu (merujuk pembangkang waktu itu Barisan Nasional) yang cuba menyalahgunakan pentas politik untuk menggugat kepercayaan rakyat Malaysia yang mahu melihat negara dalam keadaan baik.

Kata Kit Siang lagi, dalam hantaran di Facebooknya pada 24 Februari itu, beliau mahu pentas politik digunakan sebaik-baiknya kerana percaya itu mampu membentuk negara ke arah lebih baik.

Tapi kenapa beliau tidak mahu membantu perbetulkan kesilapan terlalu kecil yang timbul dari beberapa menteri kerajaan hari ini, yang sama sekali tidak menjejaskan pentadbiran negara?

Ketika anaknya, Lim Guan Eng yang menjadi Menteri Kewangan tersilap meletakkan titik perpuluhan angka baki tabung bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hingga menjadikan jumlah RM1.486 bilion, tidak pula Kit Siang menyuruh Guan Eng letak jawatan.


Tapi bila ada menteri tersalah cakap 500 negara (dan bukan 500 wakil negara-negara asing yang dimaksudkannya) dalam video call, Kit Siang terus ambil kesempatan untuk suruh menteri diganti.

Mengapa bila ada menteri-menteri dalam Pakatan Harapan (PH) dulu, yang parti mereka menjadi sekutu kuat DAP tersasul menyampaikan fakta, tidak pula Penasihat DAP itu menyuruh mereka meletak jawatan.

Pada Julai 2018, Menteri Pertanian dan Asas Tani Salahuddin Ayub tersasul menyebut kerajaan mempunyai 72 ladang dan tujuh ekor lembu yang sedang diusahakan sehingga membuatkan Dewan Rakyat sedikit gamat dengan ketawa dari ahli parlimen.

Guang Eng pada 13 Ogos 2018 terpaksa meminta maaf kepada Dewan Rakyat apabila Kementerian Kewangan dalam jawapan rasmi kepada Parlimen menyatakan baki tabung bayaran balik GST adalah sebanyak RM1.486 bilion gara-gara tersalah titik perpuluhan.

Menurut Guan Eng, kesilapan angka itu dibuat oleh pegawainya yang tersalah meletakkan titik perpuluhan pada angka tersebut yang sepatutnya hanya RM148.6 juta.

Kit Siang patut berpegang kepada pendiriannya yang dipetik berkata:

“Wanita dan lelaki DAP ingin berbuat baik untuk negara dan rakyatnya tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

“Kita berada dalam politik kerana kita percaya bahawa politik ialah jalan yang jujur dan mulia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik untuk anak cucu kita.

“Sebenarnya, yang kotor ialah ahli politik bukan politik. Kepercayaan ini yang kita pegang,” yang sempat SUARA MERDEKA petik dari hantaran Facebook milik Kit Siang tempoh hari. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button