Berita

Berita palsu kematian Pak Lah, polis panggil dua individu

SUSULAN laporan polis berkenaan berita palsu berkaitan kematian Tun Abdullah Ahmad Badawi, polis telah memanggil dua individu termasuk penulis artikel untuk diambil keterangan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kedua-dua individu itu bagaimanapun mengaku tidak berniat jahat dengan menulis dan menyiarkan berita tersebut.

“Pihak saya telah melakukan siasatan dan daripada siasatan tersebut, kita dapati apa yang ditulis tidak mempunyai niat tidak baik, salah komunikasi, tersilap.

Kita telah mengambil tindakan memanggil penulis artikel tersebut dan semuanya dah tidak ada apa-apa, tiada kes,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Menurutnya, siasatan juga mendapati seorang lagi individu bertindak menyebarkan berita tersebut kerana menyangkakan ianya adalah benar.

Abdul Hamid memberitahu perkara berkenaan selepas berkunjung ke kediaman bekas Perdana Menteri untuk memaklumkan berkenaan kes siasatan tersebut dan bertanya khabar tentang pemimpin itu.

Dalam pada itu, Abdul hamid turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak sahih dan membuat semakan terlebih dahulu.

Sementara itu, isteri Abdullah, Jeanne memberitahu yang tahap kesihatan suaminya berada dalam keadaan yang baik.

“Tun selalu bersiar-siar di halaman rumah dan keadaannya baik,” jelasnya.

Pada 10 Ogos lalu, Pegawai Khas Abdullah Datuk Jefridin Atan membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Putrajaya, berhubung penyebaran berita palsu berkaitan kematian Abdullah. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button