Nasional

Berita palsu: Aduan dilakukan oleh pihak berkepentingan politik, kata Ibu Yati

PEMENANG Anugerah Kajai  2014, Wan Noor Hayati Wan Alias mendakwa pihak polis terpaksa mengambil keterangan beliau kerana aduan  yang dilakukan pihak berkepentingan politik yang mendakwa dia menyebarkan berita palsu di media sosial berkaitan wabak maut koronavirus.

Wan Noor Hayati yang pernah berkhidmat di beberapa agensi media arus perdana sebelum ini berkata, polis sendiri tidak jelas kes terhadapnya kerana hantaran yang dilakukannya bukan artikel berita palsu.

Sebaliknya, hantaran tersebut berupa sebuah pertanyaan dan menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap isu yang dibincangkan di seluruh dunia.

Wan Noor Hayati yang turut menerima anugerah Tokoh Wartawan Rakyat pada 2017 berkata, polis tidak menahan dan merampas gajetnya sebaliknya hanya merekodkan keterangan.

“Jika bertanya menjadi satu kesalahan maka ia nemberi signal hak rakyat untuk bersuara di bawah Perlembagaan adalah retorik semata-mata.  Terkejut apabila polis memaklumkan sudah ramai rupanya wartawan dipanggil berhubung kenyataan mereka.

“Semalam saya buat laporan polis terhadap pengadu pula yang berusaha menyekat kebebasan bersuara.  Wartawan kini dilihat sebagai ancaman politik bukan lagi watchdog (pemerhati) untuk membantu bersama membangun negara,” kata Wan Noor Hayati.

Pada Ahad lalu, Wan Noor Hayati melalui Facebooknya Ibu Yati, menulis hantaran berbunyi, “Pagi tadi kata 1000 orang China baru tiba di Penang. Agaknya kalau LGE kena baru darurat ke?”

Hantaran tersebut antara lima berita palsu berkaitan coronavirus yang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Bezanya di US (Amerika Syarikat) ada undang-undang dikhaskan untuk melindungi para wartawan boleh menulis menegur tak kiralah secara apa sekalipun provokasi atau reverse engineering demi mendapat jawapan, maklumat dan penyelesaian kita namakan Open Source Intelligent. Sayangnya kaedah ini tak ramai yang mahir.

“Malah lepas posting tu kerajaan mengambil langkah menyekat pelancong dari Wuhan nampak tak impaknya. Kunci kenapa US menjadi negara maju kelas pertama ialah kebebasan media benar-benar wujud,” kata Wan Noor Hayati yang lebih dikenali sebagai Ibu Yati dalam kalangan wartawan.

Wan Noor Hayati menerima lebih 20 pengiktirafan daripada pelbagai pihak terhadap sumbangannya dalam dunia kewartawanan.

Antara kejayaan beliau adalah membongkar isu penjualan MyKad, sindiket warganegara ekspres, isu Haji Ekpsres, isu ajaran sesat Arqam, isu militan Jemaah Islamiah, isu LTTE, isu ancaman siber  sehingga tertubuhnya mahkamah siber yang pertama di negara Malaysia.-SM

 

 

 

(Visited 659 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button