fbpx
Luar Negara

Belalang juta serang bandar satelit New Delhi, Gurugram

Penduduk diarahkan tutup semua tingkap rumah

BUAT kali pertama Gurugram yang merupakan sebuah bandar satelit di New Delhi, India terpaksa berhadapan dengan satu keadaan yang menakutkan.

Gurugram diserang belalang yang dikenali sebagai ‘belalang juta’ menyebabkan bandar satelit New Delhi itu bukan sahaja kelihatan suram tetapi menakutkan.

Sememangnya tidak dapat dibayangkan bagaimanakah keadaan penduduk di situ apabila diselubungi dengan kehadiran jutaan belalang juta.

Pihak berkuasa tempatan yang menyedari situasi itu, mengeluarkan arahan kepada orang ramai agar menutup rapat tingkap rumah masing-masing

Apa yang berlaku di Gurugram sebelum ini hanya terjadi di beberapa lokasi pedalaman di Gujarat dan Rajasthan.

Suasana langit di Gurugram yang menyeramkan itu turut membuatkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Delhi yang bersempadan dengan Gurugram.

Lapangan terbang itu turut terjejas dengan juruterbang diminta mengambil langkah berjaga-jaga semasa berlepas dan mendarat.

Sementara itu, kejadian di Gurugram menggamit perhatian pengguna laman sosial yang membanjiri Twitter dengan gambar-gambar belalang berkenaan.

Ada juga dalam kalangan pengguna Twitter mengkritik kerajaan serta pihak berkuasa kerana tidak mengambil langkah lebih awal mengekang perkara itu daripada berlaku.

“Belalang-belalang ini ‘tahu’ selagi ia tidak sampai ke New Delhi, selagi itu kehadirannya dianggap perkara remeh bagi kebanyakan pihak,” dakwa Devinder Sharma, seorang pakar pertanian, dalam satu tweet.

Dalam berhadapan dengan kemelut diserang belalang juta, India menggunakan jentera khas dan kenderaan bomba untuk menyembur racun serangga di sekurang-kurangnya tujuh negeri di utara, tengah dan barat negara itu.

Mereka juga bertindak membeli sistem semburan untuk dipasang di helikopter sebagai kaedah mengawal belalang juta yang terlalu banyak jumlahnya itu di beberapa kawasan penanaman utama.

Langkah ini diambil bagi memastikan kawasan penanaman utama penduduk tidak dirosakkan oleh kawanan belalang juta yang muncul entah dari mana.

Kehadiran kawanan belalang juta itu setakat ini tidak menyebabkan kerosakan yang besar kerana tempoh peralihan musim penanaman namun kalangan petani bimbang jika ia menjejaskan tanaman mereka pada musim panas nanti. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button