Nasional

Juruterapi OKU penglihatan lega pusat refleksologi beroperasi semula

PERASAAN lega yang sukar untuk diluarkan melalui kata-kata bagi 3,000 juruterapi kurang upaya penglihatan (OKU).

Mulai 1 Julai ini Spa dan pusat refleksologi yang dikendalikan oleh golongan juruterapi kurang upaya penglihatan dibenarkan beroperasi oleh kerajaan.

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, disusuli PKP Bersyarat pada 4 Mei dan PKP Pemulihan pada 10 Jun, juruterapi ini dikhabarkan langsung tiada pendapatan.

Keadaan ini berlaku berikutan subsektor pelancongan itu dikecualikan kerajaan daripada beroperasi bagi membendung penularan dan sekaligus usaha untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 di negara ini.

Mengulas keputusan kerajaan membenarkan kembali operasi subsektor itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), George Thomas berkata kepada BERNAMA, sepanjang hampir tiga bulan lepas, golongan berkenaan tidak dapat melakukan apa-apa pekerjaan untuk menampung kehidupan.

“Tidak seperti OKU lain, mereka iaitu juruterapi kurang upaya penglihatan, terbatas pergerakan.

“Sepanjang tempoh PKP, bantuan barangan runcit dan makanan diberi kepada mereka di sekitar Kuala Lumpur bagi mengurangkan bebanan,” kata George.

Menurut beliau lagi, sebagai persediaan untuk beroperasi semula,  MAB telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk dipatuhi oleh para juruterapi kurang upaya penglihatan demi menjamin keselamatan juruterapi itu sendiri dan juga pelanggan.

“SOP akhir masih di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia masih belum diserahkan kepada kami.

“Apapun kami harap akan  menerimanya dalam tempoh sehari dua ini sebelum pusat urut spa dan refleksologi yang berkenaa, kembali beroperasi,” kata George.

Beliau juga berharap, kerajaan dapat menanggung kos saringan  Covid-19 untuk golongan itu memandangkan sumbangan dan derma yang diterima pihaknya semakin berkurangan.

“Kita minta jasa baik dan pertimbangan daripada pihak kerajaan sekiranya juruterapi ini dapat melakukan swab test secara percuma.

“Mereka ini tiada pendapatan, kos untuk buat ujian itu agak mahal sekitar RM300 selain perlu membeli barangan untuk operasi seperti pembelian pelitup muka, sarung tangan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Thomas berkata, bantuan sosial menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi OKU dan ibu tunggal dengan pemberian RM300 sebelum ini dapat mengurangkan beban golongan masyarakat dalam berdepan dengan waktu-waktu yang sukar. – SM

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button