fbpx
Rencah Hidup

Bela ‘Cik Kiah’ yang miliki tubuh tujuh meter panjang, seberat 220kg

Sesiapa yang memandang “Cik Kiah” buat pertama kali pasti terpaku dengan kecantikan dan keunikannya.

Namun, Cik Kiah yang dimaksudkan di sini bukanlah  seorang gadis, sebaliknya seekor ular sawa betina  daripada  keluarga Malayopython reticulatus atau reculated python’– ular sawa batik seakan anakonda – yang dibela Mohd Redzuan Abdullah Zawawi.

Memiliki panjang tujuh meter dengan berat 220 kilogram, Mohd Redzuan, 36, mendakwa Cik Kiah adalah ular sawa batik peliharaan terbesar di Asia.

Untuk rekod, Guinness World Records mencatatkan ular sawa batik di Missouri, Amerika Syarikat yang dinamakan Medusa sebagai ular terpanjang di dunia dengan ukuran 7.67 meter pada 2011.

Mengulas hobinya membela reptilia, Mohd Redzuan yang ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini, berkata Cik Kiah merupakan antara enam ekor ular sawa batik yang dibelanya.


“Kesemua ular ini saya tempatkan di sebuah rumah yang saya sewa khas untuk mereka,” kata bapa dua anak itu.

Menyingkap “pertemuannya” dengan Cik Kiah, Mohd Redzuan berkata dia terserempak dengan reptilia itu melintas jalan kira-kira 16 tahun lepas.

“Ketika itu saya dalam perjalanan menghala ke Teluk Bahang dan ternampak anak ular sawa sedang melintas jalan. Saya ambil dan putuskan untuk membelanya. Ketika itu saiznya cuma sebesar dua ke tiga jari saya,” katanya, menambah Cik Kiah merupakan ular pertama yang dibelanya.

Menurut lelaki itu, hobinya mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarga yang kesemuanya merupakan pencinta haiwan.

“Ular sawa batik ini sememangnya jinak, malah ia juga tidak mudah terdedah kepada penyakit selain hanya memerlukan tempat tinggal yang selesa dan ruang yang mencukupi, bergantung pada saiz ular,” kata bekas penjawat awam itu.

Dia turut menjelaskan mereka yang mahu membela reptilia itu perlu mendapatkan lesen daripada  Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Sebelum ini, ada peminat ingin saya membuat pertunjukan ular, namun tidak boleh kerana tidak memiliki lesen untuk pertunjukan,” katanya, menambah anak sulungnya yang berusia 12 tahun turut berkongsi minat dengannya.

Mohd Redzuan mengakui kos memelihara ular sawa agak besar dan dia membelanjakan antara RM700 dan RM800 sebulan untuk makanan reptilia terbabit.

“Lagi besar ular itu lagi tinggi kos makanan. Untuk Cik Kiah, makanan yang diperlukannya ialah kira-kira 20 hingga 25 ekor ayam sebulan,” katanya. – BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button