Bekas finalis Anugerah Juara Lagu buka bengkel baiki kereta
MELAKA 19 Jan. – Bekas finalis Anugerah Juara Lagu ke-10 kategori Irama Malaysia, Aida Hajat atau nama sebenarnya Siti Haida Hasnan mengorak langkah berani membuka bengkel kereta dan motosikal bidang yang belum pernah diceburinya.
Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Hajat dan Manis Masa Bercinta di bawah komposer Saari Amri itu, usaha nekadnya membuka bengkel kereta selepas terhimpit hilang punca pendapatan sejak penularan wabak Covid-19.
Aida yang berjaya menghasilkan dua album di bawah BMG Music berkata, sejak Covid-19 peluangnya menerima undangan menyanyi di kelab malam, majlis rasmi dan sebagainya tertutup apabila sebarang bentuk hiburan tidak dibenarkan sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Saya hilang punca pendapatan nak sara tiga anak berusia antara sembilan hingga 19 tahun. Macam-macam kerja saya buat termasuk buka kedai makan di Lorong Pandan tetapi tidak bertahan lama.
“Lepas itu timbul idea daripada seorang mekanik yang mencadangkan saya membuka bengkel membaiki kereta. Pada mulanya saya tak mahu tetapi atas dorongan, saya keluarkan modal dan buka perniagaan ini.
“Alhamdulillah selepas hampir setahun, perniagaan bengkel saya berjalan baik. Setiap hari ada pelanggan datang dan rezeki saya tidak putus,” ujarnya.
Bengkel milik Aida dinamakan Pak Tam Auto Servis Kereta dan Motosikal terletak di Taman Kota Laksamana dibuka setiap hari daripada pukul 9.00 pagi hingga 7.00 malam.
Menurutnya, sejak bengkel itu dibuka ia mampu memberi pendapatan untuk menyara tiga anaknya selepas bercerai dengan suaminya.
“Sejak tidak ada undangan menyanyi, banyak kerja yang saya usahakan demi kelangsungan hidup apa lagi menyara tiga anak yang semakin membesar. Saya tidak pernah patah semangat walau berdepan pelbagai rintangan,” katanya.
Begitupun buat Aida anak kelahiran Melaka, bidang nyanyian tidak dapat dipisahkan daripada dirinya dan kini bersedia untuk kembali semula menyanyi selepas aktiviti hiburan sudah dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN).
Dia tidak menafikan akan kembali menyanyi mengharungi tahun 2022, bidang yang pernah memuncakkan namanya bergelar artis serta berjaya menghasilkan dua album pada sekitar 1997.
Katanya, kini Aida bersedia menerima semula undangan menyanyi di majlis keraian, lounge dan sebagainya.