Berita

Bekas anggota PALAPES boleh diaktifkan sertai Askar Wataniah

Islamabad, Pakistan.

Para Pegawai Tauliah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Angkatan Tentera Darat Malaysia yang sudah tidak aktif dan setelah beberapa tahun nama mereka terbatal boleh menghidupkan kembali keaktifan mereka dengan menghubungi Pasukan Wataniah (Siri 500) yang terdekat untuk melalui proses kemasukan semula.

Namun, mereka perlulah menjalani pemeriksaan dari segi tahap kesihatan, dokumentasi dan sebagainya.

Setelah mendapatkan sokongan daripada Timbalan Komander di rejimen berkenaan, Markas Formasi Tentera Darat Malaysia dan kelulusan oleh Majlis Angkatan Tentera Kementerian Pertahanan, Pegawai Tauliah tersebut akan ditauliahkan semula ke pangkat terakhir yang disandang atau setaraf.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengetuai delegasi ‘Lawatan Kerja Akademik dan Strategi Ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Malaysia’ ke Pakistan selepas berkenan berangkat menerima taklimat dan seterusnya melawat Defence Export Promotion Organisation (DEPO) of Pakistan di Islamabad pada pagi semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pengarahnya, Mejar Jeneral Farhan Abbas Sani serta para pegawai kanan beliau.

Mengiring sama ialah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Kol (K) Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Lt. Kol. Ts. Dr. Shahrizal Nazri dari Universiti Sains Malaysia.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, TYT Ikram Mohd Ibrahim dan Penasihat Pertahanan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Kolonel Abu Hashim Jamaludin.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat turut menyarankan supaya semakan semula dapat dilaksanakan terhadap kriteria keaktifan yang ditetapkan.

Kajian mungkin harus dibuat untuk syarat jam minima setahun untuk layak disambung perkhidmatan atau kenaikan pangkat, bukannya seperti amalan semasa iaitu perlu menghadiri sekurang-kurangnya 70 peratus barulah boleh disambung atau memohon kenaikan pangkat supaya sesuai dengan realiti dan keadaan semasa.

(Visited 1,324 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button