Nasional

Bekal dadah: Empat anggota polis direman tujuh hari

SERAMAI empat anggota polis direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah keseluruhan berjumlah RM12,000 sebagai upah membekal barangan terlarang kepada tahanan lokap, tiga tahun lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mazan Sinin bermula hari ini sehingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah.

Permohonan dibuat Pegawai Penyiasat Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Abdullah Fahmi Mohd.@Salleh.

Keempat-empat suspek berpangkat koperal berusia antara 35 hingga 40 tahun itu ditahan sewaktu hadir di pejabat SPRM Melaka, petang semalam.

Difahamkan, kesemua suspek didakwa menerima suapan daripada pihak luar bagi tujuan membawa masuk barangan terlarang seperti rokok, dadah, makanan dan tembakau untuk kegunaan tahanan lokap di situ.

Bayaran itu didakwa diterima daripada orang suruhan tahanan lokap yang dibuat melalui 20 transaksi secara tunai atau pindahan dalam talian di sebuah balai polis di daerah Alor Gajah antara 2019 hingga 2020.

Setiap seorang mereka dikatakan menerima upah antara RM600 hingga RM9,000 sepanjang tempoh setahun itu.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah pukul 9.30 pagi diiringi pegawai SPRM menaiki dua kenderaan dan memakai baju lokap berwarna jingga. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009. – SM Melaka

 

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button