Rencah Hidup

Jurufoto sambilan bergasak dengan peguam: Salah siapa?

INSIDEN agresif sehingga mencetuskan pergaduhan yang berlaku di lobi Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor petang semalam perlu diperbetulkan kerana persepsi orang ramai mengatakan, yang bergaduh itu ialah wartawan dan peguam.

Sebenarnya, insiden semalam langsung tidak membabitkan wartawan sebaliknya pergaduhan dan kekasaran itu berlaku di antara seorang JURUFOTO sambilan sebuah akhbar tempatan dan peguam yang mewakili menantu Dr Chandra Muzaffar iaitu Samirah Muzaffar dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund.

Bahkan laporan dalam bentuk video tentang insiden pergaduhan itu juga perlu diperbetulkan apabila naratif menyebut, “pergaduhan di antara wartawan dan peguam”.

Sebagai pengamal media, perlu dibezakan antara wartawan dan jurufoto atau jurukamera. Tidak boleh dipukul rata kerana bidang tugas di antara wartawan dan jurufoto itu berbeza.

Wartawan menulis, melaporkan berita manakala jurufoto pula, tugas hakikinya ialah merakam foto atau dalam bahasa paling mudah untuk difahami, TANGKAP GAMBAR. Itu tugas jurufoto.

Kejadian semalam bukanlah suatu insiden yang baharu kerana pengamal media di Malaysia tidak terkecuali daripada dikasari melalui perkataan (kata-kata kesat) ataupun secara fizikal.

Ini termasuk wartawan sendiri ditolak, dibentes dan disiku ketika menjalankan tugas walaupun pelaku itu berlainan gender dengan wartawan yang dikasari.

Semalam, buku bertemu ruas apabila jurufoto sambilan itu bergasak dengan peguam kerana gender yang sama. Tidak timbul soal atau isu jantina pelaku-pelaku.

Apa yang berlaku semalam, kedua-dua pihak, jurufoto sambilan dan peguam berkenaan, masing-masing telah membuat laporan polis.

Jadi, biarlah pihak polis menjalankan siasatan siapakah yang memulakan provokasi dan siapakah yang bertindak agresif terlebih dahulu.

Sekilas pandang rakaman video, terlihat seorang jurufoto tersepak bag tarik berwarna hitam milik peguam berkenaan sewaktu jurufoto dan jurukamera berpusu-pusu mahu merakamkan wajah Samirah, anak guam yang diwakili peguam berkenaan.

Apabila dikerumuni tanpa pengalaman SOP Covid-19 tidak hairanlah berlaku tertolak dan tersepak.

Dalam menjalankan tugas pengamal media termasuk jurufoto sambilan sekali pun, perlu tahu etika dan adab merakam foto.

Tidak boleh melangkau etika kerana itu yang akan menjadi pegangan atau defense apabila dicabar ketika menjalankan tugas.

Seperti juga wartawan, banyak pihak di luar sana yang menjerit kata-kata WARTAWAN PERLU ADA ETIKA DALAM PENULISAN.

Betul. Persoalannya, apakah peguam tidak perlukan etika dalam berhadapan dengan pengamal media termasuk jurufoto dan jurukamera?

Kejadian semalam menyebabkan kedua-dua pihak, jurufoto sambilan itu dan peguam berkenaan, mengalami kecederaan walaupun tidak serius mana.

Yang paling serius kecederaan yang ditanggung oleh kedua-dua belah pihak ialah MALU dan MARUAH. – SM

(Visited 730 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button