NasionalPolitik

Bayangkan bagaimana DAP dan UMNO jadi pembangkang

BANYAK yang memperkatakan kemungkinan wujud kerajaan baharu dalam tahun ini, berikutan pelbagai pergerakan sulit yang berlaku di dalam dan di luar pembangkang serta pemerintah.

Paling asas dan banyak diperkatakan ialah sebagaimana yang diketengahkan oleh Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dari KITA, UKM, bukanlah seorang ahli akademik biasa.

Profesor Ulung itu sebagaimana dilaporkan oleh The Sunday Star, memperkatakan mengenai kemungkinan terjadinya dua perkara ini dalam tahun ini:

(1)     Terbentuknya kerajaan baru yang dianggotai oleh Bersatu, UMNO, PAS, puak Datuk Seri Azmin Ali dari PKR, parti-parti dari Sabah dan Sarawak serta parti-parti lain.

(2)     Parti-parti yang tidak dijemput menyertai kerajaan baru seperti puak Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR dan DAP pula akan membentuk barisan pembangkang yang baru.

Ekoran banyak cakap-cakap itu ketika dalam pertemuan dengan seorang pemimpin penting UMNO saya bertanyakan apakah masih terdapat percaturan lain sedang parti berkenaan ketika perhimpunan agung yang lalu telah sepakat menolak kerajaan pintu belakang.

Bagaimanapun pemimpin berkenaan memperjelaskan maksud sebenar ialah bukan pintu perbincangan tertutup, tetapi perlu mengikut saluran parti yang betul iaitu bukan dibuat tanpa pengetahuan parti.

Walaupun pencerahan itu agak bercanggah dengan apa yang diperkatakan dalam ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan agung yang baru lepas, tetapi ada logiknya.

Bayangkan jika semua parti sedang berpakat dan UMNO telah menutup terus pintu, tiba-tiba Tun Dr. Mahathir Mohamad membentuk pakatan baharu dengan semua parti Melayu termasuk sebahagian PKR dan sebahagian UMNO, ini akan menyebabkan parti terbesar orang Melayu itu terkeluar daripada sebarang pakatan.

DAP sudah tentulah tidak akan menyertai pakatan bersama PAS, AMANAH, Bersatu, dan banyak lagi parti Melayu serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Akhirnya tinggal UMNO dan DAP yang menjadi pembangkang. Kedengaran memang aneh, tetapi tidak mustahil berlaku.

Apakah ketika itu UMNO dan DAP akan bekerjasama sebagaimana kerjasamanya dengan PAS pada ketika ini.

Tentulah hampir mustahil berlaku. Sedang di dalam negara ini hanya tiga parti sahaja yang mempunyai struktur yang kemas iaitu PAS, DAP dan UMNO.

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button