Bank Rakyat, MAIDAM lancar Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu
BANK RAKYAT dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu baru-baru ini melancarkan Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu sebagai usaha memacu pembangunan projek wakaf di Malaysia, khususnya dalam sektor kesihatan bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, inisiatif ini merupakan kemuncak kerjasama strategik Bank Rakyat bersama MAIDAM dalam mendukung inisiatif myWakaf yang memberi fokus terhadap penyediaan saluran perkhidmatan perbankan di samping memartabatkan wakaf sebagai instrumen kewangan yang boleh memberi impak kepada pembangunan ekonomi negara.
“Bank Rakyat selaku bank peneraju bersama MAIDAM bagi tujuan pengurusan Dana Wakaf MAIDAM dan Bank Rakyat ini berhasrat mempertingkatkan aspek ketelusan, akauntabiliti dan kawal selia yang efektif dalam pengurusan kewangan dana wakaf, sekali gus dapat memaksimumkan kutipan dana wakaf melalui saluran perbankan untuk kesejahteraan masyarakat,” katanya semasa majlis pelancaran Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu di Kampung Baroh Che Miah, Jalan Sultan Omar, Terengganu.
Tambah Dr. Hanis, sebanyak RM1.47 juta dana wakaf telah berjaya dikumpulkan hasil daripada sumbangan orang ramai setakat Oktober 2022.
“Dana wakaf yang terkumpul digunakan untuk membiayai kos bagi membaik pulih Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu ini termasuk kos penyediaan kemudahan dan peralatan termasuk mesin dialisis yang secara keseluruhannya mencecah lebih RM644,000.
“Bank Rakyat berharap agar usaha ini dapat membantu meringankan bebanan golongan asnaf untuk membiayai kos rawatan yang semakin tinggi sebagai usaha murni dalam kita bersama-sama membantu ummah yang memerlukan,” tambah Dr. Hanis.
Turut hadir semasa majlis pelancaran tersebut, Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan dan Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat.
Sementara itu, Dato’ Haji Shaikh Harun berkata, Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu ini dijangka mampu memberi manfaat kepada lebih 500 pesakit buah pinggang di negeri berkenaan di samping dapat mengurangkan masalah kesesakan di hospital awam.
“Pusat yang mula beroperasi secara rasmi pada 25 Oktober lalu ini boleh menampung seramai 18 pesakit buah pinggang sehari. Antara keistimewaan pusat ini adalah konsepnya yang mesra ibadah dengan penyediaan ruangan solat, posisi kerusi menghadap kiblat dan alunan bacaan al-Quran sebagai terapi kepada pesakit,” ujar beliau. – SM
Artikel berkaitan > Bank Rakyat terbit Sukuk Wakalah Senior bernilai RM500 juta