Nasional

Azmin digesa semak sektor beroperasi tempoh PKP

Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) mendesak Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyemak semula kebenaran beroperasi kepada beberapa sektor ekonomi termasuk automotif dan pembinaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, keputusan itu walaupun ditegaskan oleh Mohamed Azmin tertakluk pada garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan ketat, namun ia tetap dianggap oleh rakyat sebagai tidak wajar dilaksanakan di sebalik usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian pandemik berkenaan.

Jelasnya, apabila kerajaan membuat keputusan melanjutkan tempoh PKP untuk dua minggu lagi dari 15 April sehingga 28 April ini, maka PKP perlu dilakukan secara menyeluruh atau total.

“Jadi, kenapa pula MITI perlu membenarkan beberapa sektor tambahan untuk beroperasi?

“Saya sendiri ada membaca komen netizen di laman sosiap Facebook yang tidak setuju dengan keputusan MITI itu.

“Bagi netizen, adalah lebih baik PKP ini dilaksanakan secara menyeluruh kerana apa yang ingin dilakukan pada ketika ini adalah memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

“Saya juga baca komen-komen ibu-bapa di Facebook. Ramai yang mahu penutupan sekolah dilanjutkan lagi. Ibu-bapa rata-rata bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka.

“Kenapa perkara itu dinyatakan oleh rakyat? Ini kerana dalam situasi negara sedang dilanda wabak yang cukup berbahaya pada ketika ini, keselamatan rakyat dan negara seharusnya menjadi keutamaan mengatasi segala-galanya,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Haslihelmy berkata, ini bukan masa untuk MITI mahupun Mohamed Azmin memikirkan soal menjamin kelangsungan ekonomi negara atau keuntungan semata-mata, inilah masanya untuk seluruh rakyat Malaysia habis-habisan melawan pandemik ini.

Jelasnya, apa guna kerajaan sibuk meminta rakyat mematuhi PKP dengan mengadakan sekatan jalan raya, kawalan ketat di kawasan zon merah, rakyat tidak patuh PKP didenda RM1,000 tetapi MITI mahu membenarkan beberapa sektor tambahan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

“Ini tidak adil kepada rakyat Malaysia yang boleh saya katakan, hampir keseluruhannya mematuhi PKP dan rakyat sedar bahawa wabak ini cukup berbahaya dan perlu bersama-sama dengan pihak kerajaan memutuskan rantaiannya.

“PSAP memetik kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan beliau bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa seluruh rakyat Malaysia.

“Setiap nyawa adalah berharga. Baik bayi, orang muda, orang dewasa atau warga emas, semuanya bernilai. Kehilangan satu nyawa kerana virus
ini bukan bererti kehilangan kepada suami, isteri, anak-anak atau keluarga terdekat sahaja, tetapi juga satu kehilangan besar buat negara,” katanya.

Menurutnya, PSAP juga memuji langkah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang berterusan meminta rakyat terus duduk di rumah sepanjang PKP dilaksanakan dan menjaga kesihatan diri dan keluarga.

“Itulah juga yang seharusnya menjadi keutamaan MITI dan Mohamed Azmin pada ketika ini.

“Semak semula keputusan itu bukan saja demi keadilan semua pihak tetapi apa yang lebih penting bagi memutuskan rantaian Covid-19 dan keselamatan rakyat dan negara ini,” tegasnya. – SM

(Visited 169 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button