Politik

Apa lagi Melayu mahu?

PERNAH satu ketika Utusan Malaysia menanyakan soalan Apa Lagi Cina Mahu? Kali ini saya pula mahu tanya Apa Lagi Melayu Mahu?

Melayu yang saya maksudkan ialah Melayu UMNO. Dengan kekalahan teruk di dalam dua pilihan raya umum, parti itu masih lagi berkuasa.

Di Perak contohnya dengan hanya enam kerusi dewan undangan negeri, menteri besar masih lagi kekal orang UMNO.

DAP yang selama ini dianggap musuh, sanggup berkongsi kuasa. Parti yang didominasi Cina dan mendapat sokongan padu kaum berkenaan telah belajar episod 22 bulan menjadi kerajaan.

Mereka sanggup bertolak ansur dengan tidak memegang jawatan utama di dalam kerajaan pusat dan kerajaan negeri, kerana sedar bukan mudah mereka untuk menguruskan negara yang majoritinya ialah orang Melayu.

Episod lalu ketika menjadi kerajaan mereka terlalu ghairah untuk mempertikaikan hak-hak orang Melayu, menyebabkan mereka ditolak hanya untuk 22 bulan.

Kelebihan DAP mereka cepat belajar dan menyesuaikan diri, dan jika difikirkan logik mereka tidak akan mampu menjadi kerajaan selepas dibenci total oleh orang Melayu.

Bagaimanapun kebijaksanaan pemimpin mereka membolehkan mereka diterima kembali oleh majoriti rakyat negara ini dengan membentuk kerajaan melalui gabungan Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan parti-parti dari Sabah serta Sarawak.

Kini UMNO pula mempelajari daripada kepandaian pemimpin DAP berasimilasi dengan gabungan parti-parti yang baharu serta memahami kehendak secara umum.

Para pemimpin UMNO tidak seharus terlalu gembira kerana mereka mempunyai tugas yang berat, selain memberi justifikasi kepada tindakan mereka apabila bersekongkol dengan musuh mereka berzaman-zaman.

Namun perkara yang paling besar ialah mendidik DAP untuk lebih menghormati orang Melayu dan tidak menyentuh isu-isu sensitif, khususnya anutan mereka agama Islam.

Untuk ke hadapan Malaysia perlu menerima hakikat politik perkauman tidak lagi boleh diterima. Sementelahan MIC dan MCA tidak lagi relevan di arena politik kerana sokongan tertumpu kepada DAP dan PKR.

Apabila UMNO bergabung dengan DAP kini negara lebih stabil selain mempunyai dua pertiga sokongan, isu-isu politik yang tidak berasas sudah dikurangkan dan kini tumpuan boleh diberikan bagi memulihkan ekonomi negara.

Rakyat sudah terlalu letih melihat gelagat pemimpin politik yang gilakan kuasa. Pertelagahan dan pergaduhan berpanjangan menyebabkan kebajika rakyat tidak disantuni dengan sewajarnya.

Apabila politik stabil, ekonomi semakin pulih dan peluang pekerjaan dicipta dengan banyak, rakyat akan berterima kasih kepada kerajaan termasuk orang Melayu kerana mereka dapat hidup dengan lebih baik.

Jadi cukup-cukuplah politik menjual bangsa sendiri demi mendapatkan sokongan. Rakyat bukan lagi bodoh yang boleh dicucuk hidung.

Jadilah pemimpin untuk semua kaum di negara ini dan hanya formula itu yang mampu membawa negara ke hadapan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button