fbpx
BeritaEkonomiPolitikRencah Hidup

Apa jadi kepada kakitangan Utusan, selepas Utusan gulung tikar?

Sedih, bangga dan terharu bercampur baur apabila melihat rakan-rakan berusaha untuk memulakan hidup selepas dibuang tanpa sebarang pampasan, bahkan tanpa dibayar gaji dua bulan tertunggak selepas Utusan Melayu (M) Berhad gulung tikar.

Bagi saya sehingga ke hari ini belum dapat menghadamnya apakah yang sebenarnya kami hilang. Pejabat, rakan, keluarga besar Utusan, sumber pendapatan dan banyaknya lagi. Sebenarnya kami kehilangan tempat bernaung dan berteduh.

Ketika sebilangan telah mula berniaga kecil-kecilan, masih ramai yang terkapai-kapai mencari ikhtiar untuk hidup. Ada juga mengambil keputusan menjadi pemandu Grab dan menjual roti canai. Ada yang mula membuka portal seperti kami. Ada lagi sibuk mengusung kertas kerja cadangan projek termasuk membuka portal ke pihak-pihak yang berminat menaja.

Ada yang menjual sabun dan lebih ramai kini melayan hobi bagi meredakan tekanan hidup dan perasaan.

Ketika ini juga kebanyakan sibuk menguruskan untuk mendapatkan pampasan daripada Perkeso melalui insurans pekerja.


Tidak menjadi masalah kerana ia juga sumber rezeki yang halal, cuma persoalannya kini apakah benar Utusan benar-benar tidak boleh diselamatkan atau ia hanya mainan politik yang rakus?

Yang dibimbangkan jika mereka bangkit menentang kerajaan. Jika seorang menulis sebuah buku atau menulis di portal-portal, melukis kartun menghentam kerajaan ia pastinya akan memeningkan kepala.

Sebagaimana yang sering disebut oleh rakan-rakan sesuatu yang mati dan apabila hidup kembali ia mungkin menjadi pontianak, zombi, frankenstein dan pelbagai lagi mahkluk yang aneh. Atau bermakna apabila seseorang berada pada kedudukan tiada apa-apa lagi `nothing to loose’ dikhuatiri kemahiran yang ada digunakan untuk membinasakan dan bukan untuk membina.

Tenaga kerja mahir editor, pemberita, pelukis grafik dan jurugambar akhirnya tersia-sia begitu sahaja. Mereka pastinya akan bangkit membina kehidupan kerana rezeki Allah maha luas, tetapi negara yang rugi apabila tenaga mahir ini hanya digunakan untuk kelangsungan hidup semata-mata dan bukannya untuk tujuan lebih besar iaitu membina negara.

Di sini SM kongsikan foto-foto yang dikongsi oleh rakan-rakan kakitangan Utusan di media sosial.

Show More

Related Articles

Back to top button