Politik

Apa cerita Nazri Aziz? Buka mulut mesti kontroversi

NAZRI Aziz tidak lekang dengan kontroversi dan apabila buka mulut mesti ada saja cadangan yang pelik-pelik.

Khairuddin Abu Hassan berpandangan cadangan Nazri Aziz yang kini Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat merupakan satu buah pemikiran yang dangkal, bodoh serta tidak menghormati amalan demokrasi secara tulen.

Lebih baik suruh Nazri Aziz cadangkan sistem pentadbiran negara ala autokratik untuk memudahkan mereka berpaut pada kuasa buat selamanya mungkin hingga ke hari khiamat.

Sesungguhnya, apa yang dinyatakan oleh Nazri Aziz macam budak sekolah darjah dua yang tidak faham sistem politik serta amalan demokrasi dalam mana-mana pentadbiran sesebuah negara.

Apa yang dinyatakan oleh Nazri Aziz juga bakal mengundang kepada amalan salah guna kuasa secara ekstrim bila sesebuah parti dapat menubuhkan kerajaan dan tidak ada proses untuk menukar sesebuah kepimpinan sekiranya mereka salah guna kuasa seperti di zaman kerajaan kleptokrasi dahulu.

Takkan kita nak kena tunggu sehingga lima tahun untuk menukar kepimpinan yang boleh merosakkan bangsa dan negara?

Sebelum kepimpinan ditukar seandainya kita perlu tunggu sehingga lima tahun kemungkinan besar pada waktu itu negara serta rakyat sudah pun hancur.

Dalam masa yang sama saya amat hairan bagaimana seseorang individu yang berpemikiran ‘kuno’ seperti Nazri Aziz boleh dilantik sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat?

Beliau sepatutnya lebih peka pada sistem dan amalan demokrasi di sana.

Seperkara lagi jangan cuba hendak kaitkan politik dengan Raja-Raja Melayu.

Inilah masalah dengan puak saki-baki kleptokrats UMNO yang senantiasa cuba letakkan bebanan politik pada Raja-Raja Melayu.

Kita mengamalkan sistem ‘Raja Berperlembagaan’ yang mana keseluruhan rakyat khususnya orang-orang melayu amat setia serta menyayangi Raja-Raja Melayu.

Institusi DiRaja tidak boleh mencampuri hal ehwal politik negara.

Keseluruhan rakyat juga amat memahami serta berpegang erat pada Rukun Negara yang disemai dalam jatidiri kita tetapi dalam masa yang sama jangan cuba hendak mengaitkan Raja-Raja Melayu dengan permasalahan politik negara.

Orang-orang seperti Nazri Aziz jangan cuba hendak berselindung di sebalik Raja-Raja Melayu bagi mengekalkan kuasa mereka.

Jika DYMM Agong memperkenankan sesebuah parti menubuhkan kerajaan selepas PRU tetapi kerajaan tersebut melakukan pelbagai salah guna kuasa yang bakal mengancam bangsa dan negara maka apakah kita tidak boleh bertindak melalui kuasa-kuasa yang termaktub dalam perlembagaan untuk menukarkan sesebuah kerajaan yang tidak baik itu?

Suruh Nazri Aziz mengamati serta mengkaji secara mendalam mengenai amalan sistem
demokrasi khususnya di Amerika Syarikat yang kebetulannya beliau adalah wakil negara di sana.

Kenyataan Nazri Aziz ini amat memalukan dan menampakkan seolah-olah sedang berhempas pulas hendak mempertahankan kedudukan mereka semata-mata walaupun kerajaan mereka itu lemah dan bakal memudaratkan negara.

Kalangan ini lebih mementingkan kepentingan peribadi dari segalanya. Setakat ini kerajaan Madani selaku ‘government of the day’ adalah sebuah kerajaan yang gagal.

Sudah tujuh bulan memerintah negara Kerajaan Madani yang dipimpin oleh ‘kaki-kaki penipu’ masih gagal menyelasaikan masalah ekonomi, kos sara hidup rakyat, harga makanan, keruntuhan nilai ringgit, OPR yang membebankan peminjam-peminjam perbankan serta pelbagai lagi permasalahan negara.

Orang melayu yang termaktub secara jelas hak-hak dalam perlembagaan persekutuan juga disekat untuk bercakap mengenai permasalahan mereka di tanahair sendiri.

Bercakap mengenai masalah orang-orang melayu tanpa sebarang unsur-unsur provokasi terhadap mana-mana kaum, agama dan institusi DiRaja juga dianggap berbaur perkauman.

Ini tidak boleh diterima sama sekali oleh akal fikiran yang waras.

Apakah kita harus izinkan sesebuah kerajaan yang jelas gagal secara teruk untuk terus
mentadbir negara sehingga boleh merosakkan masa depan bangsa serta negara sendiri?

Jangan takut dengan bayang-bayang sendiri sekiranya sesebuah kerajaan itu ditadbir secara bersih, cekap dan amanah.

Hakikatnya, kita tidak perlu meminda perlembagaan untuk mengekalkan sesebuah kerajaan tetapi asasnya kepimpinan yang mentadbir negara harus menjaminkan kerajaan mereka efektif untuk menjaminkan masa depan bangsa dan negara terus terpelihara.

Ini yang sepatutnya menjadi asas utama ke arah menjaminkan agar sesebuah kerajaan itu kekal secara ‘natural.’ – SM

Artikel pandangan peribadi KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Sekretariat Proklamasi Orang Melayu
12 Jun 2023

BACA Mohamed Nazri dilantik duta baharu Malaysia ke Amerika Syarikat

BACA Pelantikan Nazri sebagai duta ke AS di buat awal tahun lalu – Anwar

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button