Nasional

Mohamed Nazri dilantik duta baharu Malaysia ke Amerika Syarikat

BEKAS Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilantik sebagai duta baharu Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).

Perkara berkenaan disahkan Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini sebagai merujuk kepada istiadat penyerahan watikah pelantikan 10 ketua perwakilan diplomatik baharu.

Majlis penyampaian tersebut berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Ia turut disaksikan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin bagi menggantikan menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang mengikuti lawatan rasmi ke Thailand.

Berdasarkan kenyataan Wisma Putra itu, bekas Ahli Parlimen Padang Rengas tersebut dilaporkan memiliki pengalaman luas sebagai anggota pentadbiran negara sebelum ini.

Tokoh veteran UMNO berusia 68 tahun dan berasal dari Gerik, Perak itu dinyatakan juga pernah dilantik menjadi menteri untuk pelbagai portfolio sejak 2013 sehingga 2018 lalu.

Turut menerima watikah pelantikan ialah bekas pegawai khas Menteri Luar, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony yang akan menjadi duta baharu Malaysia ke Filipina.

Tidak ketinggalan ialah Hendy San (Holy See), Hafizah Abdullah (Sweden), Gloria Corina Peter Tiwet (Brazil), Suzilah Mohd. Sidek (Czechia), Amarjit Singh Sarjit Singh (Timor-Leste), ‘Alaudiin Mohd. Nor (Kuwait) dan Ruzaimi Mohamad (Kenya). – SM

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button