Nasional

Apa beza berbaris di pasar raya dan saf di masjid?

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 8 Mac lalu, sudah lapan kali Jumaat, masjid-masjid di seluruh negara sepi, tidak ada solat Jumaat.

Ramadan yang menyusul pada 24 April lalu juga disambut berbeza. Tidak ada aktiviti bertarawih atau majlis agama di masjid dan surau.

Walaupun akur dengan perintah kerajaan demi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19, namun jauh dalam sanubari umat Islam di negara ini, rasa terkilan tetap ada.

Hati tetap meronta-meronta untuk ke surau dan masjid, terutama di bulan Ramadan ini dan di hari Jumaat.

Apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei, ramai yang berharap agar masjid dan surah sudah mula boleh diimarahkan.

Namun, ia belum menjadi kenyataad dan hari ini (8 Mei) merupakan hari jumaat yang kelapan tidak ada solat Jumaat bagi memastikan penularan wabak Covid-19 terkawal.

Tetapi, mulai 4 Mei lalu, hampir semua sektor perniagaan sudah mula beroperasi dengan orang ramai sudah mula berpusu-pusu memenuhi pusat membeli-belah seolah-olah seperti mahu melepaskan geram.

masjid beratur
Adakah beratur begini mematuhi SOP yang ditetapkan untuk memutuskan rantaian Covid-19?

Jika meninjau pusat membeli-belah di sekitar Lembah Klang, jelas orang ramai sanggup berbaris panjang untuk memasuki premis-premis perniagaan tertentu.

Di sebalik kebenaran itu, ada beberapa aktiviti perniagaan dan keagamaan masih tidak dibenarkan di bawah PKPB.

Aktiviti seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat masih tidak dibenarkan.

Begitu juga denga majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan dan majlis perasmian, semuanya tidak dibenarkan.

Langkah yang diambil oieh kerajaan itu sudah tentu untuk kebaikan rakyat secara keseluruhannya.

masjid
JIKA ada antara pengunjung ini yang jadi pembawa virus Covid-19, apa jaminan ia tidak disebarkan kepada orang lain jika beginilah keadaannya?

Covid-19 adalah ancaman yang tidak dapat dilihat. Cara terbaik untuk mengawalnya adalah dengan memutuskan rantaian penyebaran melalui PKP dan PKPB.

Namun, ada juga yang mempertikaikan apa bezanya beratur ramai-ramai untuk masuk ke pusat membeli-belah dengan mendirikan saf di masjid dan surau?

Walaupun ada SOP yang telah ditetapkan dan perlu dipatuhi, tetapi rata-rata yang pergi membeli-belah itu tidak mematuhi SOP tersebut.

Mereka mungkin beratur sebelum masuk kerana pihak pengurusan hanya membenarkan sejumlah orang tertentu sahaja untuk masuk pada satu-satu masa.

Tetapi apabila sudah berada di dalam, ada yang tidak sedar atau tidak sengaja telah melanggar SOP tersebut. Hingga berlaku sentuhan antara pelanggan terutama di kaunter-kaunter yang menjual sayur dan makanan basah serta di tempat timbangan.

Begitu juga di kaunter pembayaran. Ada pasar raya yang membuka kaunter secara berhadapan yang menyebabkan mereka yang berbaris untuk bayar itu berdiri dekat antara satu sama lain.

Atas pemerhatian ini ada yang berpendapat, jika begitu keadaannya, rasanya saf di surau dan masjid lebih selamat berbanding ketika beratur untuk bayar di kaunter pasar raya.

Jadi, kerajaan diminta membenarkan umat Islam ke surau dan masjid dengan menetapkan SOP tertentu.

Pihak pengurusan masjid dan surau boleh memastikan SOP ini dipatuhi oleh para jemaah. Termasuk tidak boleh membawa kanak-kanak kerana mereka sukar dikawal.

Diharapkan, selepas dua bulan masjid dan surau ‘ditinggalkan’ kerajaan dapat mencari formula yang terbaik di bawah PKPB untuk membolehkan umat Islam dapat mengimarahkan rumah ibadat itu dengan Ramadan berbaki dua minggu lagi.

Diharapkan Garis Panduan Solat Jumaat Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk dipertimbangkan dapat diputuskan sebaik mungkin oleh pihak berkuasa agama.

masjidMenurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5 yang diadakan hari ini (Jumaat 8 Mei) telah membincangkan garis panduan tersebut.

Harapan umat Islam di negara ini adalah agar surau dan masjid di seluruh negara dapat diimarahkan segera, seboleh-bolehnya sebelum Ramadan berakhir.

Jika pasar raya dan pusat membeli-belah yang menjadi tumpuan ramai boleh dibenarkan dibuka dengan SOP tertentu, pastinya juga perkara yang sama boleh dilakukan untuk membolehkan jemaah kembali berjemaah di surau dan masjid ketika PKPB ini. – SM

(Visited 549 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button