Nasionalpilihan

Anwar tidak ada cukup sokongan untuk jadi PM

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak mempunyai yang sokongan yang cukup untuk dilantik menjadi Perdana Menteri.

Malah, surat akuan yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong juga adalah surat yang menyatakan bahawa 13 Ahli Parlimen tidak menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penghantaran surat oleh PH disahkan Timbalan Presiden AMANAH yang juga Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Ya kita ada buat surat (akuan). Surat itu dihantar menerusi parti (masing-masing dalam komponen Pakatan Harapan – PH).

“Cuma saya tak pasti bila surat itu dihantar tetapi saya ada dimaklumkan mengenainya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Dalam pada itu, seorang pemimpin kanan PKR juga menyatakan persetujuan untuk memberi tumpuan kepada Ahli Parlimen yang menentang Muhyiddin.

“Memanglah Ahli Parlimen pembangkang tak akan sokong Perdana Menteri yang memerintah. Perkara sedemikian dah memang terang. Tetapi kami berpandangan sesuatu perlu dilakukan cepat untuk menyokong surat UMNO kepada Tuanku.

“Mereka sedar bahawa selagi mereka tidak memiliki nama untuk calon Perdana Menteri, tidak ada apa yang berubah dalam konteks persefahaman untuk menggulingkan kerajaan sekarang,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaNow.

Memetik laporan itu PH dan beberapa Ahli Parlimen lain mendakwa berjaya mengumpulkan 100 nama berserta 13 nama yang didakwa oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, Parti Warisan Sabah (WARISAN) turut mengesahkan mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara sama.

Ketua Wira WARISAN yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman memaklumkan parti itu sudah menandatangani dan menghantar surat berkenaan.

“WARISAN juga mengesahkan perkara ini. (Surat) ditandatangani dan diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya di Twitter.

Walaupun Ahli Parlimen di luar PH turut menolak kepimpinan Muhyiddin, namun mereka tidak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, yang dikatakan sebagai matlamat utama rancangan Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sehingga sekarang, calon perdana menteri belum dinamakan kerana penentangan hebat Ahli-ahli Parlimen yang boleh menjadi kingmaker,” kata sumber dalaman PKR tersebut kepada MalaysiaNow. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button