Anwar tegur kelompok elit taasub bahasa Inggeris
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur segelintir kelompok elit yang taasub dengan Bahasa Inggeris sehingga meremehkan penggunaan Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara.
Beliau berkata sikap obsesi dan keghairahan kelompok tersebut yang menganggap kejayaan dan kepintaran hanya boleh dicapai dengan penguasaan Bahasa Inggeris adalah salah.
“Saya tidak mewakili pendapat yang mahu mengurangkan (penguasaan) Bahasa Inggeris, tetapi saya juga tidak mewakili sikap yang mempunyai fobia terhadap bahasa sendiri .
Saya ingin mengingatkan mereka ini terlalu taasub dengan Bahasa Inggeris. Mereka mungkin dibesarkan di London, tetapi saya ingatkan mereka, hidup mereka di Malaysia, mereka mesti mewakili hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia secara keseluruhannya,
katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Hazami Jahari.
Hadir sama Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan dan Datuk Rahman Shaari.
Anwar berkata pelbagai kaum di negara ini seharusnya melupakan pertelingkahan mengenai bahasa sebaliknya menguatkan iltizam dan mengambil satu pendirian serta komitmen untuk memperkasakan Bahasa Melayu.
Apabila ini dilakukan, kita akan lebih mudah memberi penumpuan kepada pemerkasaan Bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan lain-lain,
katanya.
Beliau juga berkata pemerkasaan ekonomi sesebuah negara juga perlu seiring dengan pemerkasaan budaya dan tamadun termasuk bahasa, seni dan sastera.
Katanya kerajaan MADANI di bawah pimpinannya akan terus komited dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu tanpa meminggir bahasa-bahasa lain.