Mahkamah

‘Amar makruf nahi mungkar’, kata Guan Eng selepas didakwa lagi

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng mengungkapkan ayat berbahasa Arab ‘Amar makruf nahi mungkar’ dalam kenyataan selepas didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju.

Guan Eng berkata, beliau akan membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah atas tertuduhan yang dilemparkan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Buttrworth hari ini.

“Adalah mengecewakan bahawa pihak berkuasa yang berkenaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah membenarkan diri mereka dipergunakan atau disalahgunakan untuk melakukan penganiayaan politik terhadap saya berdasarkan bukti yang tidak kukuh,” kata Guan Eng.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh menyebabkan Pendaftar Hakmilik Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng mendakwa terdapat empat percanggahan atau kontradiksi dalam dua pertuduhan tersebut.

Antaranya, beliau mempersoalkan bagaimana tuduhan rasuah boleh berlaku ketika tiada wang suapan dijumpai dalam pemilikannya dan isterinya.

Guan Eng juga berkata, tuduhan rasuah tidak boleh berlaku apabila projek terowong tersebut dianugerahkan melalui tender terbuka dan semua keputusan dibuat oleh pegawai kerajaan negeri, exco atau jawatankuasa teknikal khusus dan tidak diputuskan oleh dirinya seorang diri.

“Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar,” kata Guan Eng.

Ini adalah pertuduhan terakhir terhadap Guan Eng yang berkaitan dengan kontroversi projek terowong dasar laut yang menjadi perhatian, sejak beberapa tahun lalu.

Pada 7 Ogos lalu, Guan Eng dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang. Zarul Ahmad adalah Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Pada 10 Ogos lalu pula, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan telah menggunakan kedudukan beliau semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad, yang dilantik bagi melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Guan Eng dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown, Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Beliau sekali lagi dihadapkan ke mahkamah sama pada 11 Ogos atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), untuk suapan wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya, Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.-SM

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button