BeritaNasional

‘Akhirnya, remaja didakwa bunuh bayi sendiri dibenar ikat jamin’

REMAJA perempuan yang didakwa membunuh bayi yang baru dilahirkannya, dibenar dibebaskan dengan ikat jamin oleh Mahkamah Rayuan hari ini sementara menunggu perbicaraan kes itu.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah, membenarkan remaja itu diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Yaacob berkata, ikat jamin itu hanya akan berkuat kuasa selepas gadis itu selesai menjalani penilaian psikiatri di Hospital Permai, Tampoi di Johor.

Beliau berkata, remaja perempuan berusia 15 tahun itu dan penjaminnya mesti melapor diri di Balai Polis Chukai di Kemaman, Terengganu sebulan sekali sebelum atau pada hari ketujuh setiap bulan sehingga kesnya selesai.

Hakim itu juga berkata, remaja itu dan penjaminnya perlu hadir ke mahkamah, melainkan dikecualikan oleh mahkamah dan dia tidak boleh dibawa keluar negara tanpa kebenaran daripada mahkamah.


Sebelum perbicaraan permohonan ikat jamin gadis itu bermula, hakim mengeluarkan perintah supaya identiti gadis itu tidak didedahkan.
Remaja itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman pada 15 Feb lepas atas pertuduhan membunuh bayinya di sebuah rumah di Seri Bandi, Kemaman, Terengganu antara 7 dan 9 pagi pada 8 Feb.
Bagaimanapun, dia tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan dan permohonannya untuk dirujuk bagi penilaian kesihatan mental turut ditolak oleh mahkamah sama.
Remaja itu kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Terengganu untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Majistret yang tidak membenarkannya diikat jamin namun ditolak pada 8 Mac.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan sebahagian permohonan semakan remaja itu dan memerintahkan agar dia dirujuk untuk menjalani penilaian psikiatri.
Dia kemudiannya memfailkan permohonan dibenarkan diikat jamin di Mahkamah Rayuan.
Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dihukum mati mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan hukuman itu akan digantikan dengan penjara bagi suatu tempoh yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang Dipertua Negeri, bergantung kepada tempat kesalahan dilakukan.
Pada 18 Feb lepas, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan bahawa ia masih boleh menyiasat dan menyemak pertuduhan membunuh terhadap remaja itu yang didakwa menikam bayinya sehingga mati serta menggantikannya dengan pertuduhan lain.
Terdahulu dalam prosiding hari ini, peguam Ramkarpal Singh berkata, jaminan perlu diberikan kepada remaja itu kerana dia adalah mangsa rogol dan eksploitasi seksual yang memerlukan perlindungan.
Peguam itu berkata tiada alasan munasabah untuk mempercayai bahawa dia melakukan pembunuhan, sambil menambah bahawa dia mungkin membunuh bayi mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Seksyen itu menyatakan mana-mana wanita yang menyebabkan kematian anaknya yang baru dilahirkan apabila keadaan mentalnya terganggu, dia bersalah atas kesalahan membunuh bayi.
Ramkarpal, yang dibantu peguam Sangeet Kaur Deo dan Harshaan Zamani berkata gadis itu kini dalam pemerhatian psikiatri dan penilaian lanjutan di hospital yang akan berakhir pada 22 Mei ini.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berkata demi kepentingan gadis itu, dia harus ditempatkan sementara di rumah kebajikan sebelum kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana kemudahan yang disediakan oleh rumah kebajikan sesuai untuk remaja itu dan jaminan tidak sepatutnya diberikan.
Sangeet Kaur memberitahu mahkamah bahawa ibu gadis itu tidak dibenarkan menemuinya walaupun ketika dia berada di rumah kebajikan tersebut. – BERNAMA
(Visited 50 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button