Negeri

Akhirnya babi hutan ganggu penduduk Kampung Kelongkong tumbang

MELAKA 5 Februari – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka akhirnya berjaya menembak mati empat ekor babi hutan yang sebelum ini mengganggu penduduk di Kampung Kelongkong, Tanjong Kling, 11 hari lalu.

Jejak haiwan itu yang berpindah ke hutan di hadapan Masjid Kampung Tanjong Kling tidak jauh daripada Kampung Kelongkong disedari beberapa penduduk kampung apabila melihat kelibat haiwan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjong Kling, Khairulazni Baharuddin berkata, beliau yang menerima maklumat itu terus bergegas meninjau aduan yang diterima sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada Perhilitan.

Menurutnya, bertindak daripada maklumat tersebut, dua anggota Perhilitan yang tiba mula memasuki hutan tersebut kira-kira pukul 6 petang semalam.

“Hampir sejam menyusup hutan tersebut akhirnya Perhilitan berjaya menembak induk haiwan tersebut kira-kira pukul 7.15 malam.

Related Articles

“Beberapa minit selepas itu tiga lagi anak haiwan tersebut berjaya ditembak mati sehingga pukul 8.30 malam. Usaha menjejaki saki baki binatang liar itu gagal ditemui sehingga operasi ditamatkan kira-kira pukul 11.30 malam,” ujarnya ketika ditemui lewat malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi turut hadir selepas operasi itu tamat.

Khairulazni berkata, Perhilitan memberi jaminan pemantauan akan dilakukan oleh pihaknya dalam usaha untuk memusnahkan saki baki haiwan itu yang masih terdapat di dalam hutan berkenaan.

Menurutnya, usaha pihak terbabit cuba menjejaki haiwan itu gagal sebelum ini apabila tidak menemui langsung kelibat binatang itu pada kejadian pertama dilaporkan penduduk pada 25 Januari lalu.

“Kami penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada Perhilitan yang akhirnya berjaya menembak mati empat ekor binatang liar ini,” ujarnya.

Dalam kejadian 25 Januari lalu, penduduk Kampung Kelongkong dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan babi hutan antara lapan hingga 10 ekor mengganggu penduduk termasuk mengejar beberapa kanak-kanak dan seorang penunggang motosikal.

Haiwan itu juga turut merosakkan pagar milik penduduk termasuk memusnahkan tanaman pokok pisang, nenas dan pokok ubi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button