fbpx
Politik

Ranjau sepanjang jalan Ahmad Zahid Hamidi

MENJELANG ulang tahun penubuhan UMNO yang ke-74, timbul pulak bisik-bisik berlakunya pergolakan dalaman UMNO yang menyebut ada usaha untuk menggangu-gugat kedudukan Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sejauh mana kebenarnnya bukanlah isu “kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang”. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Ahmad Zahid Hamidi dipilih oleh ahli di peringkat akar umbi bagi menerajui UMNO bagi tempoh 2018-2021 dan ahli akar umbi jugalah yang akan menentukan kedudukannya pada pemilihan parti akan datang. Perlu ingat, Institusi Presiden UMNO adalah tunjang dan simbol kekuatan UMNO dan sewajarnya pimpinan UMNO memperkukuhkan institusi ini bersama presiden bukan membuat perancangan untuk kepentingan diri dan kartel masing-masing.

Lemah sangatkah Ahmad Zahid Hamidi? Sehingga desakan demi desakan dibuat. Tempohari didesak bercuti, beliau akur untuk selamatkan UMNO supaya tidak ada lagi ahli parlimen yang mengugut lompat parti. Bila sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan timbul pulak isu yang sama, kononnya presiden lemah, mengalah dengan PPBM sehingga jawatan-jawatan penting menteri dan timbalan menteri PPBM yang dapat. Lupakah kita UMNO dan BN hanya sebahagian daripada kerajaan, apa daya dan hak Ahmad Zahid Hamidi hendak menentukan siapa yang layak untuk dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, beliau hanya boleh berunding dan mencadangkan nama sahaja. Hak prerogatif Perdana Menteri melantik menteri dan timbalan menteri bukannya presiden UMNO atau parti. Bila tak dilantik kita tuding jari, letak kesalahan kepada presiden, ini namanya perjuangan demi jawatan dan tembolok sendiri. Presiden sendiri berjiwa besar menolak sebarang jawatan dan ingin menumpukan kepada kes beliau.

Itulah nasib seorang Presiden tanpa rotan dan kayu, ramai yang mengata dan menyanggah berbanding dengan mereka yang ingin membantu. Itu belum kira lagi yang makin menjauhkan diri, mencari tuan baharu dan membina kartel baharu. Sedar tak kita, dalam kepayahan dan desakan demi desakan insan yang bernama Ahmad Zahid Hamidi inilah yang mencari jalan pulihkan UMNO di ketika rakyat melihat UMNO bakal tinggal sejarah. Insan inilah yang memulakan langkah membina kekuatan baharu bersama PAS, selepas lebih 60 tahun UMNO dan PAS menjadi seteru politik. Pada 16hb September 2018 menjadi saksi apabila Ahmad Zahid Hamidi hadir di majlis perasmian Muktamar PAS Pusat kali ke-64 bertempat di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, dan inilah langkah pertama kekuatan UMNO dan PAS mula dibina.

Insan ini jugalah arkitek kepada Muafakat Nasional bersama Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Kerana merekalah Himpunan Penyatuan Ummah UMNO-PAS pada 14hb September 2019 menjadi kenyataan yang menyaksikan termeterainya Piagam Muafakat Nasional antara dua parti utama orang Melayu dan Bumiputera. Pada 6hb Disember 2019, buat julung kalinya pentas Perhimpunan Agung Umno ke-73, menerima kehadiran Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Adakah usaha menjayakan Muafakat Nasional ini sebagai suatu yang remeh yang tidak mempunyai nilai? Kerana usaha dua insan inilah rakyat melihat Muafakat Nasional adalah pilihan terbaik untuk politik negara. Selayaknya Ahmad Zahid Hamidi diangkat sebagai Bapa Penyatuan Ummah.


Tiada siapa sangka, UMNO kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan, setelah tersungkur pada PRU lalu. Usaha siapa? Pencaturan siapa? Kenapa presiden UMNO bersetuju dengan usaha pembentukan kerajaan Perikatan Nasional sedangkan beliau sendiri tidak mendapat habuan dalam kabinet? Jangan lupa pertimbangan Presiden bersetuju menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana kita tidak mahu DAP terus bermaharajalela, kita mahu menghadapi PRU ke-15 ketika dalam kerajaan dan usaha-usaha untuk mengharamkan UMNO dapat diatasi. Semua itu telah kita perolehi pada hari ini, atas usaha presiden. Apa yang dilakukan untuk kepentingan parti bukan tembolok peribadi beliau. Jangan pulak kerana usaha terkutuk menggangu-gugat kedudukan presiden menyebabkan UMNO diharamkan.

Diam bukan bermakna tidak bekerja “diam-diam ubi berisi”, dalam diam Ahmad Zahid Hamidi, UMNO kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan setelah 22 bulan menjadi pembangkang. Ambil peluang ketika berada di dalam kerajaan untuk memperkuatkan UMNO bukan menggunakan kedudukan yang dimiliki untuk membina empayar kekuatan politik peribadi. Jangan jadikan kesetiaan sebagai barang dagangan bagi mendapatkan laba untuk diri sendiri. Cukup-cukuplah “menjadi gunting dalam lipatan”.

Kita hayati perjuangan UMNO, perkasakan Institusi Presiden, jika presiden mampu meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi. Sanggup berhadapan dengan pelbagai tuduhan terpilih (selective prosecution) demi perjuangan menegakkan kebenaran, kita wajib mendokong dan mempertahankannya bukan merancang menjatuhkannya.

Sempena ulangtahun ke-74 tahun UMNO marilah kita menghayati perjuangan UMNO. Akar umbi ingin melihat UMNO tetap kuat dan utuh. Presiden UMNO usahlah melayan karenah pemimpin-pemimpin UMNO atau bekas pemimpin UMNO yang telah yang sedang berusaha melemahkan institusi presiden kerana tembolok dan jawatan dengan mengenepikan suara akar umbi UMNO yang inginkan UMNO ‘move forward’ di bawah kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi.

Kekuatan UMNO bukan hanya terletak kepada pemimpinnya tetapi kekuatan UMNO ada pada akar umbi yang sentiasa bersatu padu dan tidak berpecahbelah.

SYED FARID AL AMIN
PERAK.

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button