Rencah Hidup

Ahmad Dawjee jutawan wakafkan tanah 1.2 ekar di Jalan Tun Perak

Alkisah rakyat Malaysia contoh terbaik

INI kisah benar. Ahmad Dawjee Dadabhoy, seorang jutawan berbangsa India Muslim mewakafkan sebidang tanah seluas 1.2 ekar di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur.

Ahmad Dawjee Dadabhoy turut mewakafkan jutaan lot saham di Bursa Saham London tetapi pengakhir hidupnya, beliau meninggal dunia di dalam sebuah unit pangsapuri kecil di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Pernahkah kita dengar cerita tentang Ahmad Dawjee Dadabhoy ini?  Seperti yang dicatatkan di awal kalam, beliau merupakan seorang jutawan Malaysia berketurunan India Muslim.

Di akhir hayatnya beliau mewakafkan hampir keseluruhan hartanya berupa sebidang tanah yang keluasannya sekitar 1.2 ekar di Jalan Perak dan juga lot-lot saham bernilai jutaan dolar di Bursa Saham London dan beberapa bursa saham lain.

Tanah beliau di Jalan Tun Perak itu dibangunkan sebuah menara wakaf setinggi 34 tingkat yang hari ini dikenali sebagai Menara Wakaf Bank Islam. Bangunan yang dibina dengan modal dikeluarkan Tabung Haji pada tahun 2007 pada kos mencecah RM151 juta.

Hari ini, bangunan itu disewakan sebagai pejabat Kelas A di kawasan segitiga emas yang kedudukannya tidak jauh dari KLCC.

Diberitakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai pemegang amanah harta wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy ini akan menerima RM56.6 juta hasil sewaan bangunan tersebut selama 25 tahun.

Di hari kematian beliau pada 24 Januari 1987, beliau meninggal di sebuah flat kecil di Jalan Masjid India, di kelilingi oleh buku-buku bacaan beliau. Tidak ada harta lain lagi bersama beliau melainkan sedikit itulah. Selebihnya sudah diwakafkan keseluruhannya untuk ummah.

Pernah keluarganya datang dari Afrika Selatan ke Malaysia. Apabila dibawa melawat tanah-tanah wakaf beliau di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur, mereka menitiskan air mata melihat betapa tingginya nilai hartanah tersebut dan tingginya ketaqwaan saudara mereka, Ahmad Dawjee yang mewakafkan hartanya itu kepada ummah.

Inilah tauladan kepada kita di zaman ini sebagaimana yg kerap kita dengar kisah sahabat-sahabat Nabi SAW yang meninggal dunia tanpa harta kerana mewakafkan harta mereka sebelum meninggal walaupun ketika hidupnya kaya raya.

Ia juga petunjuk buat kita bahawa agama menggalakkan kita mencari harta dan mengembangkan harta tetapi perlu diingat harta kekayaan itu bukanlah milik mutlak kita.

Perlu dikongsikan dengan ummah berupa zakat, sedekah dan wakaf. Di hari kematian kita, tinggal di alam barzakh, pahala sedekah itu akan terus menerus berjalan.

Kemudian dibangkitkan di akhirat kelak menjadi lebih kaya untuk tempoh yang tiada penghujungnya disebabkan ketinggian taqwa kita kepada Allah atas harta yang diinfakkan.

Kisah Ahmad Dawjee Dadabhoy ini diceritakan oleh Ustaz Mohd Ramadhan Fitri Elias (Senior Vice President Maybank Islamic / Ketua Jabatan Pengurusan Syariah Maybank Islamic Malaysia) dalam pembentangannya di Konvensyen Pejuang Hartanah di Cyberjaya. – DIOLAH DARIPADA CATATAN DATUK SAIFUL BAHAR – SM

(Visited 1,046 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button