Mahkamah

Polis marin makan rasuah RM20,700 didenda RM100,000

SEORANG bekas anggota polis marin berpangkat koperal didenda RM100,000 selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan pilihan menerima suapan RM20,700, empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh M Bakri Abd Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap  Zubairi Abdul Mutalib, 60, yang mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian berkhidmat sebagai Ketua Jentera Ronda PSC 16 di Pengkalan Polis Marin, Kampung Acheh, Sitiawan, memperoleh rasuah tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap bot bernombor pendaftaran vessel PKFA 9710 yang melakukan kesalahan bawah Akta Perikanan 1985.

Dia menerima wang berkenaan daripada Tan Kuang Hooi, 50, yang dilakukan di antara 2 Mac 2017 hingga 29 September 2017 dalam kawasan Pusat Bandar Sri Manjung Seksyen 2, Sri Manjung di daerah Manjung.

Memetik laporan Berita Harian, pertuduhan pilihan ke atas tertuduh adalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam, Shahrullah Khan.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara keseluruhan selama 57 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.-SM

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button