Agong, Permaisuri potong Emolumen Diraja 6 bulan
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama enam bulan mulai Mac hingga Ogos.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkenan oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertujuan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19, serta menyahut keputusan kerajaan memotong dua bulan gaji perdana menteri, menteri serta timbalan menteri dan disalurkan ke Tabung COVID-19.
“Perkenan Seri Paduka Baginda Berdua ini turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda Berdua terhadap perkembangan terkini pandemik ini dan situasi kewangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti yang dilaporkan BERNAMA
Sebelum ini Kabinet memutuskan gaji menteri-menteri dan Perdana Menteri akan dipotong dua bulan bagi disalurkan ke Tabung COVID-19.
- Gaji menteri dipotong dua bulan salur ke Tabung COVID-19
- Potong elaun 10 peratus. 29 ADUN Pahang setuju
- Ahmad Faizal potong gaji dua bulan
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Ia diikuti sebanyak 29 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang bersetuju untuk potong elaun mereka sebanyak 10 peratus.
Elaun itu akan dipotong selama tiga bulan dari April hingga Jun untuk Tabung COVID-19 negeri.
Mereka yang membuat potong elaun ialah wakil BN (14), Pas (lapan) dan DAP (tujuh).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut mengumumkan untuk memotong dua bulan gaji beliau yang disumbangkan kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.
Keputusan itu katanya, selaras dengan keputusan Kabinet untuk memotong dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disalurkan ke Tabung Covid-19 di peringkat pusat.