fbpx
Politik

Tujuh ADUN angkat sumpah sebagai Exco Perak

TUJUH Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Kinta di sini, hari ini.

Tiga daripadanya adalah daripada UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin (Kampong Gajah) dan Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup).

Turut mengangkat sumpah dua ADUN PAS iaitu Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria (Gunung Semanggol) dan Mohd Akmal Kamaruddin (Selama).

Dua lagi ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Tualang Sekah) dan Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau).

BERNAMA melaporkan majlis berlangsung di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah secara tertutup dengan hanya dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Hakim Utama Mahkamah Tinggi (1) Ipoh Datuk Hashim Hamzah.


Ahmad Faizal pada 13 Mac telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Pada 10 Mac, Sultan Nazrin telah memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak ke-12.

Sehari sebelum itu, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional Perak terdiri daripada BN yang semuanya UMNO, PAS dan Bersatu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat sokongan 32 daripada 59 ADUN.

Komposisi terkini DUN Perak terdiri daripada BN (25); DAP (16); Amanah (lima); Bersatu (empat); dan masing-masing tiga daripada PKR, PAS dan Bebas.

Sementara itu, Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita di luar istana berkata tiga lagi ADUN akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco dalam masa terdekat atau selepas Perintah Kawalan Pergerakan yang dilanjutkan sehingga 14 April, berakhir.

Mengenai portfolio kesemua tujuh Exco yang telah mengangkat sumpah, Ahmad Faizal berkata ia akan dibincangkan secara terperinci.

“Saya hendak berjumpa dengan semua mereka dan bincang dari hati ke hati demi membina satu pasukan yang mantap,” katanya ringkas.  – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button