Nasional

Agong hargai langkah kerajaan tangani impak Covid-19 melalui Penjana

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sebagai pelan menyeluruh kerana mengambil kira keluhan, keperluan dan kebajikan pelbagai lapisan masyarakat, industri serta perniagaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Sultan Abdullah juga menzahirkan sokongan dan penghargaan terhadap langkah kerajaan dalam menangani impak Covid-19 kepada rakyat dan ekonomi negara melalui pelan bernilai RM35 bilion itu.

Katanya, Sultan Abdullah berkata, melalui pelan itu, kerajaan perlu segera dan berkesan dalam menangani impak wabak Covid-19 kepada ekonomi negara, khususnya kemudaratan terhadap kedudukan kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kelangsungan hidup perniagaan dan rakyat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan nasib pekerja di negara ini, yang terkesan akibat impak wabak ini kepada ekonomi negara.

Ahmad Fadil berkata, Agong juga meminta agar pelaksanaan pelan itu dilakukan dengan teliti dan dipantau secara menyeluruh supaya semua kumpulan sasaran menerima manfaat serta objektif untuk membantu rakyat selain merancakkan ekonomi tercapai.

Sultan Abdullah turut menitahkan rakyat supaya meneliti dan mengambil tahu selain bertindak dengan bijak untuk memanfaatkan inisiatif-inisiatif yang diumumkan dalam pelan itu, oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, semalam.

“Rakyat turut disarankan agar tidak memilih pekerjaan dan merebut peluang yang ada walaupun dalam bidang yang dilakukan oleh pekerja asing. Dengan ini, negara boleh mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya.

Pada masa sama, Sultan Abdullah menzahirkan setinggi penghargaan kepada kerajaan dan semua agensi berkaitan, khususnya petugas barisan hadapan atas pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan dalam merawat pesakit serta memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

Beliau turut menyeru rakyat agar terus bersabar serta berdisiplin dengan tatacara serta amalan kebiasaan baru dan mematuhi semua perintah dikeluarkan kerajaaan.

Disiplin rakyat ialah kunci utama yang akan menentukan kemenangan negara memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 ini, kata Ahmad Fadil.-BERNAMA 

(Visited 89 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button