Ada kata laluan, boleh guna tandas McD Bukit Bintang
TAHAP kesedaran sivik rakyat Malaysia masih di tahap yang rendah. Sama sahaja mentaliti rakyat negara ini yang masih tidak tahu menjaga kemudahan awam yang disediakan.
Entah bilakah rakyat Malaysia mahu mendidik diri sendiri agar menjaga kemudahan awam terutamanya tandas yang disediakan di restoran-restoran makanan segera.
Oleh itu, tidak hairanlah jika restoran makanan segera Mc Donalds memperkenalkan ‘undang-undang’ kepada para pelanggannya termasuk rakyat Malaysia, amnya.
Menurut Mc Donalds atau McD, sesiapa sahaja pelanggan yang melangkah masuk ke restoran cawangan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, sekiranya mahu menggunakan tandas yang disediakan, mereka perlu melakukan dua perkara.
Pertama, perlu membeli makanan di restoran berkenaan dan keduanya, ada kata laluan atau password sebelum dapat menggunakan tandas di situ.
Kata laluan yang dikehendaki bukanlah kata laluan untuk penggunaan Wi-Fi atau internet tetapi kata laluan untuk menggunakan tandas. Ya! Ia hanya boleh diperoleh di kaunter McD selepas membayar makanan yang dipesan.
Kata laluan itu ada pada resit pembelian! Hah! Inilah kaedah yang sinonim dengan peribahasa Melayu, “sambil menyelam, minum air” dan tiada apa yang percuma atau “nothing is free”.
Semua rakyat Malaysia perlu sedia maklum bahawa hanya pelanggan yang memesan makanan dan ada resit pembelian di McD itu sahaja yang boleh menggunakan kemudahan tandas yang disediakan.
Langkah serampang dua mata McD ini secara tidak langsung, mengajar rakyat dan pelanggan agar tahu menjaga kebersihan tandas awam.
Bukannya main sembrono masuk tandas awam, keluar dengan meninggalkan segala kotoran!
McD cawangan yang menggunapakai kaedah ini, kata laluan di resit pembelian, juga menjana pendapatan.
Pastinya resit pembelian itu tidak boleh dibiarkan di atas meja yang mana, kemungkinan digunakan oleh pelanggan lain yang tidak membeli makanan tetapi mahu menggunakan tandas!
Memadangkan McD di Bukit Bintang sering menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara maka sudah semestinya mereka harus sentiasa menjaga kebersihan tandas. – SM