Negeri

ACD Covid-19 dilancar di Kampung Haji Baki

OPERASI pengesanan kes secara aktif (ACD) Covid-19 dilancarkan di Kampung Haji Baki, Kuching, hari ini susulan dua kluster dikesan di situ.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kluster pertama adalah sebuah keluarga membabitkan tiga mangsa dikesan positif Covid-19 manakala lima mangsa lagi dari keluarga kedua.

“Secara keseluruhan sebanyak lapan kes positif direkodkan di sini dan Jabatan Kesihatan Negeri berpandangan kemungkinan wabak itu telah merebak kepada komuniti.

“Ini sebabnya kami menjalankan operasi ACD membabitkan 100 petugas kesihatan di bawah Dr Majorie Ensayan Junting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebuah pusat untuk menjalankan ujian swab didirikan berhampiran kampung berkenaan dengan penduduk dibahagikan kepada dua blok iaitu Blok A membabitkan 600 penduduk sedang disaring, manakala mereka di Blok B dan C digalakkan menjalani ujian secara sukarela.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, operasi ACD selaras dengan inisiatif jawatankuasa itu untuk mengawal penularan pandemik menerusi pendekatan ‘mengesan dan mengasingkan’.

“Bagi mereka yang sakit dan warga emas yang sukar bergerak, petugas kesihatan akan melawat mereka di rumah masing-masing bagi melakukan ujian dan mereka ini adalah golongan paling terdedah.

“Kami tidak boleh menunggu sehingga mereka yang dijangkiti menunjukkan gejala datang mendapatkan rawatan. Ketika itu, sudah pasti wabak telah semakin merebak ke dalam komuniti,” katanya.

Menurut beliau, dua operasi ACD dijalankan awal tahun ini di kawasan perumahan Uni Garden di Kota Samarahan dan Kampung Tabuan Melayu, yang didapati sangat membantu JPBNS dalam mengawal penularan pandemik berkenaan. – SM

(Visited 291 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button