Nasional

Tommy saran Dewan Rakyat bersidang seperti biasa

BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menggesa sidang Dewan Rakyat bersidang seperti biasa setelah dijadualkan untuk bermula pada 2 November ini.

Beliau berkata demikian selepas tidak bersetuju dengan cadangan melaksanakan Perintah Darurat seperti yang digembar-gemburkan ramai pihak sebelum ini.

Katanya, Parlimen sepatutnya boleh berfungsi seperti biasa walaupun perintah tersebut diisytihar dan dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, perintah tersebut tidak akan akan berkesan dalam memerangi pandemik Koronavirus (Covid-19) yang memasuki gelombang ketiga.

“Sudah terang dan jelas bahawa mengisytiharkan darurat tidak akan membawa hasil yang diharapkan. Parlimen harus melaksanakan tugasnya.

“Oleh itu, Dewan Rakyat harus bersidang seperti biasa bagi sesi pembentangan belanjawan pada awal November, seperti yang dijadualkan.”

Tommy berkata demikian seperti dipetik laporan portal Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, penganalisis dan ahli politik memberi pelbagai gambaran terhadap pelaksanaan Perintah Darurat.

Malah, ada yang berpendapat Parlimen akan digantung dan beberapa usul termasuk undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut tertangguh.

Selain itu, Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada 6 November ini menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan juga tidak akan berlangsung.

Oleh demikian, kerjaaan dijangka akan menggunakan perbelanjaan kecemasan bagi meneruskan perbelanjaan negara pada tahun hadapan.

Ia termasuklah perbelanjaan bagi menangani wabak Covid-19 yang pertama kali meningkat kepada empat angka di negara ini semalam.

Walau bagaimanapun, seorang lagi bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali Pula mendakwa pengisytiharan darurat bukanlah berlaku di negara ini sahaja.

Malah pelbagai negara termasuk Jepun, Thailand dan New Zealand juga pernah melaksanakan perintah tersebut bagi menangani wabak Covid-19.

MOHAMED APANDI ALI

“Negara-negara lain, seperti Perancis dan Thailand telah memilih untuk mengisytiharkan darurat bagi memerangi wabak Covid 19.

“Jadi, apa yang salah dari segi undang-undang mengenai isytihar darurat.

“Kita telah melakukannya sebelum ini untuk memerangi pencemaran rentas sempadan (jerebu) pada tahun 2005 dan 2013,” katanya.

Sementara itu di Istana Negara dilaporkan berlangsung sidang Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu yang bermula pukul 2.30 petang tadi.

Mesyuarat tersebut berlangsung bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong berkenaan kaedah menangani pandemik Covid-19.

Muhyiddin sebelum ini dilapor menghadap As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada petang Jumaat lalu di Istana Abdul Aziz di Pekan, Pahang. – SM

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button