Nasionalpilihan

AADK buka seluas ruang untuk rawatan, pemulihan sukarela

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sentiasa mengikut trend semasa berkaitan kes penagihan dadah dan bahan dalam dan luar negara agar langkah pencegahan serta rawatan dan pemulihan yang dilaksanakan seiring dengan perubahan semasa.

AADK dalam satu kenyataan memberitahu, sehubungan itu, dua program rawatan dan pemulihan utama  disediakan kepada mereka yang terjebak dengan isu penagihan dadah iaitu Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) yang dijalankan di 30 buah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) yang dijalankan di 108 Pejabat AADK Daerah dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti seluruh negara.

Bagi mereka yang mengikuti program RPDK, mereka bebas berada dalam komuniti dan boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa seperti bekerja dan tinggal bersama keluarga.

Kedua-dua program ini turut menyediakan kaedah sukarela yang dibuka seluas-luasnya kepada mereka yang memerlukan tanpa melalui perintah mahkamah seperti yang termaktub dalam Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Melalui kaedah ini juga, mereka yang memerlukan boleh memilih kaedah sukarela ini sama ada untuk mengikuti program RPDI di lima PUSPEN sukarela iaitu PUSPEN Sungai Besi, Kuala Lumpur, PUSPEN Jerantut, Pahang, PUSPEN Bukit Mertajam, Pulau Pinang, PUSPEN Bachok, Kelantan dan PUSPEN Dengkil, Selangor manakala bagi program RPDK pula boleh dijalankan di Pejabat AADK Daerah dan Pusat Pemulihan DalamKomuniti seluruh negara.

Selain itu, akses rawatan dan pemulihan AADK juga disediakan di 29 buah pusat khidmat AADK seluruh negara dan kebanyakanya ditempatkan di kawasan sekitar penduduk atau community based.

Sementara itu, proses rawatan dan pemulihan AADK juga dimulakan dengan membuat penilaian dan saringan tahap penagihan dadah menggunakan instrumen berasaskan kepada pembuktian yang ditadbir urus sepenuhnya pegawai pemulihan AADK terlatih dan tidak menggunakan kaedah ujian saringan air kencing semata-mata.

Sehubungan itu, AADK berpandangan adalah tidak wajar jika ada sesetengah pihak menafikan usaha dan perkhidmatan yang disediakan AADK ini tidak bersifat terbuka dan dan berbentuk paksaan sepenuhnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button