Nasionalpilihan

Ahli keluarga suspek serang Balai Polis Ulu Tiram ditahan bawah Sosma

LIMA ahli keluarga suspek kes serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan berkata, penahanan semula kesemua suspek yang berusia 19 hingga 62 tahun itu dilakukan selepas tempoh reman mereka berakhir pada Jumaat.
“Lima beranak suspek kita tahan di bawah Sosma selepas tempoh reman tamat hari ini. Apa yang disebut saya sebelum ini, di mana bapa dia (suspek) merupakan ahli Jemaah Islamiyah (JI).
“Itu memang betul, dalam data dan rekod kita ada,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Sosma membenarkan penahanan mana-mana suspek selama 28 hari tanpa perbicaraan.
Pada hari Rabu, dua pelajar institusi pengajian tinngi yang ditahan sebelum ini berhubung insiden itu dibebaskan tanpa sebarang syarat.

Kedua-dua mereka iaitu pelejar lelaki sebuah kolej swasta berusia 22 tahun dan pelajar wanita sebuah institusi latihan berusia 21 tahun dibebaskan setelah pihaknya mendapat arahan Pejabat Peguam Negara.
Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
Sementara itu Koperal Mohd Hasif Roslan cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Penyerang terbabit maut ditembak dalam kejadian berkenaan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button